Lembaga Tabung Haji (TH) tidak akan menjual tanah Tun Razak Exchange (TRX) selepas beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk pemimpin pembangkang bersetuju dengan perkara tersebut.

Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata tanah yang dibeli pada nilai RM177.5 juta itu bakal dibangunkan oleh anak syarikat Tabung Haji, TH Properties bagi membina pangsapuri.

Ujarnya, nilai pembangunan kasar (GDV) tanah berkenaan dianggarkan RM820 juta.

"Tanah itu sebelum ini bernilai RM177.5 juta, sekarang RM250 juta. Bila kita bawa dalam Parlimen, malah bukan setakat BNBBC, ada juga pembangkang usulkan tidak perlu jual, tanah itu berharga.

"TH Properties diberi mandat membangunkan bangunan pangsapuri," kata Abdul Azeez pada sidang media selepas pengumuman bonus tahunan TH bagi tahun kewangan 2015.

Tambahnya, nilai tanah di TRX sebelum ini berharga RM2,700 satu kaki persegi, kini meningkat kepada RM3,100 satu kaki persegi.

Pada Jun 2015, Tabung Haji membuat keputusan untuk menjual tanah yang dibeli daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menghentikan persepsi buruk terhadap isu itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga memberitahu Dewan Negara yang proses pembelian tanah di TRX berasaskan landasan perniagaan dan tiada unsur lain mempengaruhi keputusan itu.

"Untuk proses pembelian TRX, ia dibuat sepenuhnya berdasarkan kepada landasan perniagaan dan mematuhi syariah. Itu sebabnya proses pembelian dibuat dengan begitu rapi walaupun tawaran bermula Mei 2013 namun proses membelinya pada 2015," tambah Jamil Khir.