Lembaga Tabung Haji (TH) yakin segala persiapan yang diatur untuk membawa lebih 22,000 jemaah haji Malaysia bagi melaksanakan wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina seterusnya melakukan lontaran di Jamrat berjalan lancar.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata oleh kerana hari wukuf adalah pada Ahad (11 Sept), ia memberikan banyak kelebihan kepada pihaknya bagi urusan membawa jemaah haji negara ke Arafah, sehari sebelum itu.

"Pengumuman kerajaan Arab Saudi hari wukuf jatuh pada Ahad, ini membolehkan kami bersiap sedia sepenuhnya tanpa masalah untuk membawa jemaah pada hari Sabtu lagi.

"Jika hari Sabtu jatuhnya hari wukuf mungkin ada sedikit masalah kerana ia melibatkan perjalanan pada Jumaat kerana hari itu adalah hari yang cukup sibuk seperti solat Jumaat di Masjidil Haram dan kesesakan jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pihak Muassasah Asia Tenggara di Ibu Pejabat TH Makkah di sini pada Khamis malam. Turut hadir Pengerusi Muassasah Asia Tenggara Muhammad Amin Hassan Andarqiri.

Syed Saleh berkata persiapan untuk operasi Masya'ir itu dengan pihak muassasah berkenaan kini berjalan lancar bagi memastikan soal kebajikan jemaah haji negara ketika di sana dititikberatkan.

Sementara itu, Muhammad Amin berkata pihaknya kini sedang dalam persiapan terakhir untuk menyiapkan segala prasarana di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Katanya kini hanya bekalan elektrik dan air sahaja yang akan dibekalkan di semua kawasan perkhemahan tidak lama lagi iaitu sebelum bermulanya hari wukuf.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar...termasuk soal peralatan makanan dan yang lain telah disiapkan melainkan bekalan elektrik dan air sahaja," katanya.

Semalam kerajaan Arab Saudi menetapkan hari Arafah atau juga dikenali Hari Wukuf yang merupakan kemuncak ibadah haji, ditetapkan pada 11 Sept (Ahad) dan Aidiladha disambut pada hari berikutnya.

Tarikh itu ditetapkan selepas kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan tarikh 1 Zulhijah 1437H adalah pada esok (Sabtu).