Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Tabung Haji catat pendapatan pelaburan RM1.55 bilion pada separuh pertama 2020

Tabung Haji catat pendapatan pelaburan RM1.55 bilion pada separuh pertama 2020
Pelaburan aset pendapatan tetap Tabung Haji menyumbang sebanyak RM1 bilion atau 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburannya bagi tempoh Januari hingga 30 Jun, 2020.
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) telah mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM1.55 bilion dalam tempoh setengah tahun pertama tahun 2020, disokong oleh pelaburan di pasaran sukuk dan saham.

TH berkata, pelaburan aset pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM1 bilion atau 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburannya bagi tempoh Januari hingga 30 Jun, 2020.
"Pelaburan hartanah telah menjana pendapatan RM204.57 juta, manakala pelaburan instrumenpasaran wang Islam menyumbang sebanyak RM187.13 juta dan RM150.27 juta pula daripada pelaburan ekuiti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menambah, peningkatan pendapatan ini telah menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh enam bulan yang sama pada 2019.
Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion pada 30 Jun, 2020, katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, sebagai sebuah institusi pengurusan haji dan pelaburan yang aktif di pasaran kewangan,TH turut terkesan dengan impak pandemik COVID-19 berikutan langkah pengawalan penularan jangkitan koronavirus.

"Impak besar dari wabak COVID-19 ke atas ekonomi dunia dan negara telah menjadi cabaran yang paling utama bagi TH dalam menguruskan pelaburannya demi melindungi kepentingan pendeposit.

"TH juga telah mengambil langkah untuk mengenal pasti kesan COVID-19 ke atas pelaburan melalui pemantauan berkala. Dari segi operasi pula, TH perlu menjadi lebih cekap dengan menambah baik perkhidmatan dan mengurangkan kos," kata beliau.

Nik Mohd Hasyudeen berkata, TH juga sedang membuat persediaan menghadapi pengurusan ibadah haji yang lebih mencabar pada tahun hadapan, berikutan penangguhan haji musim 1441H/2020M, termasuk menangani cabaran-cabaran baharu seperti penyampaian perkhidmatan yang mengambil kira situasi pandemik itu.

Setakat 30 Jun, 2020, jumlah deposit meningkat kepada RM73.86 bilion berbanding RM69.42 bilion pada 31 Dis, 2019, dengan lebih 123,000 akaun simpanan baharu telah dibuka pada separuh pertama 2020.
- BERNAMA


Tag: Tabung Haji, pendapatan pelaburan, sukuk dan saham, pelaburan ekuiti, pandemik COVID-19



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.