Tabung Haji (TH) menyewa 12 bangunan bagi menempatkan 22,320 jemaah haji Malaysia sepanjang musim haji 2016.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah berkata perjanjian penyewaan 12 bangunan itu merangkumi sembilan bangunan di Makkah dan tiga di Madinah.

Jelasnya, jarak hotel dari Masjidil Haram, Makkah tidak lebih daripada 1,000 meter, manakala di Madinah pula tidak lebih 150 meter dari Masjid Nabawi.

"Ia sekali gus memberi keselesaan kepada jemaah haji," katanya kepada media Malaysia mengenai persedian logistik TH untuk jemaah haji pada tahun ini, di sini, hari ini.

Mengenai penerbangan, TH akan menggunakan perkhidmatan sewa khas Penerbangan Malaysia (MAS) dan Saudi Airlines bagi menerbangkan bakal haji ke Tanah Suci, bermula 4 Ogos hingga 4 September depan, katanya.

Jemaah haji dijadual berlepas pulang ke tanah air bermula 17 September hingga 15 Oktober.

Menurut Johan, Tabung Haji akan menyediakan kaunter-kaunter kewangan di setiap bangunan penginapan jemaah haji.

"Ia bertujuan untuk memudahkan jemaah haji mengeluarkan wang masing-masing untuk berbelanja.

"Turut disediakan perkhidmatan bimbingan, kaunseling dan kemudahan kafeteria serta penyajian makanan," katanya.

Bagi Pusat Rawatan Di Tanah Suci apabila tiba musim haji nanti, katanya, TH akan membuka klinik-klinik di bangunan penginapan dan pusat rawatan di Makkah dan Madinah.

Jemaah haji yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan perubatan semasa di tanah suci boleh mendapatkan perkhidmatan secara percuma.