Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pembayaran bonus tahunan sebanyak 5 peratus kepada 8.85 juta pendeposit bagi tahun kewangan 2015.

Selain itu, bonus tambahan 3 peratus juga diberikan kepada pendeposit yang belum menunaikan ibadah haji iaitu seramai 8.23 juta pendeposit sekali gus menjadikan bonus keseluruhan 8 peratus.

Pengumuman itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Bangunan Tabung Haji di sini hari ini.

"Pada asalnya, TH merancang untuk mengagihkan keseluruhan keuntungan 2015 sebanyak RM3.53 bilion sebagai bonus.

"Namun, setelah mengambil kira pandangan Bank Negara Malaysia dan prospek ekonomi tahun ini, TH akan menyimpan RM300 juta dari Keuntungan Boleh Agih tahun ini kepada Rizab Boleh Agih tersebut," kata Jamil Khir pada sesi pengumuman itu.

Tambah Jamil Khir, pembayaran bonus itu juga telah mengambil kira 2.5peratus bayaran Zakat Perniagaan TH 2015 sebanyak RM59.3 juta.

Walaupun TH menghadapi persekitaran kewangan yang mencabar pada tahun 2015, namun prestasi kewangan TH kekal berdaya tahan.

"Dengan rekod pendapatan sebanyak RM4.47 bilion dan keuntungan bersih selepas zakat mencecah RM3.53 bilion, ia adalah pendapatan dan keuntungan tertinggi sejak 52 tahun TH beroperasi," jelasnya.

Ujarnya, dengan prestasi tersebut, Keuntungan Boleh Agih atau Rizab Boleh Agih TH melonjak kepada RM3.82 bilion.

Hadir sama pada majlis pengumuman itu adalah Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail.

Tahun lalu, TH membayar bonus sebanyak 6.25 peratus kepada 8.6 juta pendeposit dengan bonus tambahan dua peratus diberikan kepada pendeposit yang belum menunaikan ibadah haji.

Dividen dan Bonus