Tabung Haji (TH) akan mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada petugasnya bermula tahun hadapan dalam usaha menambah baik sistem pengurusan jemaah haji, kata Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata KPI itu adalah bagi melihat setiap penambahbaikan melibatkan jemaah haji negara ini dilakukan dengan baik demi keselesaan jemaah haji sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima itu.

"Tahun ini kita telah mengurangkan tempoh masa jemaah haji di lapangan terbang Jeddah, lebih dari lima jam kepada tiga jam di mana TH telah sediakan biometrik jemaah haji lebih awal.

"Ini merupakan salah satu contoh dan TH dari masa ke masa akan menambah baik pelbagai perkara bagi melancarkan urusan jemaah haji sepanjang musim haji tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Mengucap Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Kedah di TH Hotel& Convention Centre di sini, malam tadi.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Abdul Azeez berkata pihaknya turut mengambil kira masa perjalanan bas oleh jemaah dari Jeddah ke Makkah serta masa yang diambil untuk memperbaiki bas yang rosak.

Beliau berkata sekiranya ada bas yang rosak dan mengambil masa terlalu lama untuk diperbaiki, pihaknya akan menggantikan bas lain bagi membolehkan jemaah meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

"Cuaca yang terlalu panas dijangka akan menyebabkan berlaku kerosakan terutamanya pada pendingin hawa dan tayar bas. Kita telah sediakan petugas yang mahir untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Azeez turut menasihati jemaah haji agar mengurangkan aktiviti luar dan banyak minum air bagi mengelak berlakunya strok haba ekoran suhu di Makkah kini mencecah sehingga 51 darjah celsius.

Jelas beliau, jemaah perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh petugas TH bagi memastikan tahap kesihatan mereka berada pada tahap baik sepanjang melaksanakan ibadah haji.