Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menafikan membekukan akaun Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF).

Dalam satu kenyataan, Pasukan Petugas Khas itu berkata TAFF tiada kaitan dengan siasatan 1MDB yang sedang dijalankan oleh pasukan itu.

"Pasukan Petugas Khas 1MDB ingin menjelaskan bahawa pasukan berkenaan tidak pernah terlibat dengan tindakan pembekuan akaun TAFF.

"Sehubungan itu, semua pihak diminta agar tidak mengaitkan isu terbabit dengan siasatan kes 1MDB," kata kenyataan itu.

Pasukan petugas itu diketuai bersama oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang kini Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador.

Sabtu lepas, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendakwa bahawa akaun Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF) telah digantung.

Tunku Azizah merupakan pengasas dan penaung yayasan itu, yang ditubuhkan pada 11 Ogos 2004, selepas baginda tidak dapat hamil selama 10 tahun sebelum menjadi ibu.

Melalui Twitter @cheminahsayang baginda, Tunku Azizah berkata baginda tidak mengetahui siapa yang bertanggungjawab menyebabkan atau mengapa akaun itu digantung.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan tidak terbabit dengan isu pembekuan akaun TAFF dan menjelaskan perkara itu membabitkan masalah dalaman yayasan berkenaan dengan pihak bank.

-- BERNAMA