Notis tuntutan penahanan dan ekstradisi ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah nasihat peguam dan bukan sesuatu yang luar biasa.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, permintaan itu dilakukan mengikut undang-undang selain mengharap bantuan polis untuk menjalankan siasatan.

"Saya melihat kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar itu membuktikan bahawa amalan rasuah dan jenayah dalam negara tidak mungkin boleh ditangani sekiranya institusi seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) gagal melaksanakan tanggungjawab.

"Saya tidak menuntut lebih daripada KPN, sekadar memohon dalam bidang kuasa yang ada dalam polis untuk keluarkan waran tangkap Jho Low supaya siasatan dapat dilakukan.

"Ini bukan perminaan yang luar biasa, kerana itu atas nasihat peguam peguam saya. Ya, ia dijamin dalam perlembagaan dan polis ada kuasa untuk memanggil mana mana suspek dalam kes jenayah," katanya semasa sidang media selepas Majlis Turun Padang Datuk Menteri Besar Selangor ke Daerah Sepang 2017d di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Khalid berkata beliau tidak akan memberi respon notis Mohamed Azmin yang menuntut penahanan dan ekstradisi ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

BACA: Khalid tidak kisah Azmin hendak ambil tindakan undang-undang

Dalam notis tersebut, Mohamed Azmin mahu pihak polis menangkap Jho Low, yang dikaitkan dengan isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam pada itu katanya, perbincangan untuk menetapkan langkah susulan akan dilakukan bersama peguam-peguam dalam isu berkenaan.

"Saya teruskan usaha ini kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahui siapakah pelaku jenayah sehingga berlaku kerosakan ekonomi.

"Ini menyebabkan rakyat menderita dan ekonomi negara kini berada pada tahap yang lemah.

"Saya akan rujuk kepada pihak peguam apakah tindakan selepas ini," jelasnya.

Selasa lalu, Mohamed Azmin melalui peguamnya Latheefa Koya telah mengeluarkan notis terhadap Khalid yang menuntut supaya Jho Low ditahan setelah didakwa melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Mohamed Azmin turut memberikan tempoh selama 14 hari kepada Khalid untuk respon, dan jika beliau gagal berbuat demikian, tindakan mahkamah akan diambil.