Tahap kecerdasan (IQ) amah Indonesia yang didakwa membunuh majikannya empat tahun lepas amat rendah, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pada Ahad.

Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Permai Johor Baharu Dr Bada'iah Yahya berkata pemeriksaan berkala beliau mendapati Wilfrida Soik, 20, mempunyai IQ yang sangat rendah berbanding rakan sebaya di hospital berkenaan.

Beliau berkata tertuduh juga menghidap penyakit sawan yang boleh menyebabkan tindakan di luar kawalan.
"Wilfrida tidak mampu memproses apa-apa masalah dan menyelesaikannya," katanya pada perbicaraan Wilfrida, yang diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Yeap Seok Pen, 60, di sebuah rumah di Kampung Chabang Empat Tok Uban, Pasir Mas antara 11 pagi dan 12.30 tengah hari 7 Dis 2010.

Ketika kejadian, tertuduh baru dua minggu bekerja di rumah mangsa.

Mengikut pertuduhan, Wilfrida menggunakan senjata tajam untuk menyebabkan kecederaan parah di muka Yeap sehingga mengakibatkan kematian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Terdahulu, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan tertuduh membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Wilfrida.

Pendakwaan mengemukakan 26 saksi sepanjang perbicaraan kes.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah agar anak guamnya dibenarkan menggunakan khidmat seorang penterjemah kerana Wilfrida tidak begitu memahami Bahasa Malaysia dan Inggeris.

Ketika memberi keterangan dari kandang tertuduh, Wilfrida berkata semasa kejadian, dia berusia 16 tahun dan terpaksa menipu umurnya untuk masuk serta bekerja di Malaysia.

Wilfrida, yang juga buta huruf, mendakwa dia melarikan diri dari kampung halaman untuk ke Malaysia kerana seluruh keluarga menentang hasratnya bekerja di negara ini.

Katanya, sepanjang berada di rumah Yeap, dia telah didera secara mental dan fizikal sehingga hilang pertimbangan.

Tertuduh juga mendakwa dia tidak ingat bagaimana majikannya itu terbunuh pada hari kejadian.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim dan prosiding akan bersambung tiga hari mulai Selasa ini.