Cili merah, tomato serta ubi kentang dari China menjadi barangan tambahan yang dimasukkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2020.

Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia menjadikan jumlah kesemua barangan menjadi 16 berbanding 13 pada tahun lepas.

"Cili merah, tomato dan ubi kentang (import dari China) yang baru diperkenalkan tiada perbandingan harga... dan ditetapkan pada - cili merah RM13, tomato RM4.30, dan ubi kentang, RM3.

“Dari keseluruhan 16 barang, harga yang naik adalah daging babi (tiga kategori) dan bawang putih (RM7 dahulu, kini RM9).

"Jadi empat barangan naik harga, tiga kekal dan selebihnya turun,” katanya semasa sidang media di sini, pada Rabu.

Tambahnya, antara barangan lain yang termasuk dalam SHMMP adalah ayam, telur ayam, sayuran, barang kering dan hasil laut.

Beliau turut menetapkan tempoh penguatkuasaan skim ditambah menjadi 14 hari, berbanding 10 hari sebelum ini dan berkuatkuasa 20 Januari sehingga 2 Februari 2020.

Saifuddin menjelaskan, pada tahun lalu, sebanyak 29,543 pemeriksaan telah dilakukan selain pihaknya menerima sebanyak 10 aduan.

"Kebanyakan kesalahan adalah tidak meletakkan tanda harga khas merah jambu pada barang (195 aduan), tidak meletakkan tanda harga langsung (79) atau menjual melebihi harga maksimum (5).

"Tindakan pengeluaran notis dan tindakan tegas akan diambil sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah bagi barang keperluan sepanjang musim perayaan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini," katanya.

KPDNHEP juga telah menyediakan platform penyaluran aduan serta mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.

Pengguna boleh menyalurkan aduan di portal e aduan.kpdnhep, e-mel ke [email protected], atau menghubung talian KPDNHEP di 1800 886 800 atau Whatsapp ke 019- 279 4317 jika terdapat mana-mana peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan skim ini.