Lebih 75 peratus tiket Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity telah terjual daripada keseluruhan 197,328 tiket yang ditawarkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata 135,295 tiket daripada 170,784 tiket ETS dan 14,623 tiket daripada 26,544 tiket KTM Intercity telah terjual, setakat ini.

Tiket-tiket ini adalah bagi perjalanan dari 20 sehingga 31 Jan ini, katanya kepada pemberita selepas majlis edaran pek cenderahati kepada penumpang KTM Bhd sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur Sentral, di sini pada Khamis.

Kamarudin berkata tiket-tiket ini telah mula dijual sejak 18 Nov tahun lepas bagi memudahkan orang ramai membuat perancangan awal.

-- BERNAMA