Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap agar kemakmuran yang dikecapi negara sempena sambutan Tahun Baru Cina ini dapat memberi sesuatu keputusan yang memberangsangkan kepada kerajaan.

Katanya lagi, beliau merasakan sambutan kali ini lebih ceria ekoran ekonomi negara yang berkembang pada kadar 5.9 peratus untuk 2017, pengukuhan ringgit dan bursa saham yang berterusan, dan juga peningkatan keyakinan rakyat terhadap masa depan negara.

“Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini saya kira disambut dalam suasana ceria dan sangat meriah.

"Mudah-mudahan kita doa tahun baharu lunar ini memberi keputusan yang sangat memberangsangkan kepada kerajaan,” katanya ketika menghadiri sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA, di Dewan San Choon, Wisma MCA, di sini, hari ini.

Datuk Seri Najib, yang juga pengerusi Barisan Nasional, tiba di Wisma MCA kira-kira 9.50 pagi.

Beliau ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan disambut presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta barisan kepimpinan BN yang lain termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kira-kira 5,000 tetamu pelbagai kaum dan juga pelancong asing turut memeriahkan majlis.

Datuk Seri Najib turut mengambil kesempatan menyiram pokok bonsai di atas pentas sebagai simbolik kemakmuran dan kekayaan negara ini, dan kemudian menggaul yee sang bersama para hadirin.