Agensi penguatkuasa digesa mengetatkan lagi aspek penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya menjelang perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung masing-masing terjamin di samping melancarkan aliran trafik jalan raya.

Untuk mencapai tujuan itu katanya, lebih ramai lagi anggota dan pegawai penguatkuasa akan ditugaskan sepanjang musim perayaan ini seterusnya memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang sedia ada.

Beliau berharap, langkah tersebut akan meningkatkan lagi kesedaran pengguna untuk berhati hati-hati di jalan raya seterusnya mengurangkan kadar kemalangan jiwa yang kebiasaannya meningkat setiap kali tiba musim perayaan.

“Kita nak pastikan mereka perkuatkan lagi penguatkuasaan kerana kita serius.

“Tujuan kita ikhlas untuk selamatkan nyawa dan bukan nak kompaun atau denda. Tapi nak ingatkan mereka supaya jangan pandu laju, jangan langgar peraturan jalan raya, dan pandu dengan selamat dan cermat. Itu nasihat saya,” ujar beliau.

Tambah Tiong Lai, beliau juga yakin menerusi Ops Bersepadu dan Op Selamat yang mula dilancarkan pada hari ini sehingga 23 Februari depan akan lebih berkesan dari tahun-tahun sebelumnya berikutan penglibatan lebih banyak agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang sentiasa komited untuk memastikan keselamatan jalan raya terjamin.

Beliau yang juga Presiden MCA berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan PRU14 MCA Bahagian Jasin, pada Jumaat.

Hadir sama, pengerusi MCA bahagian Jasin, Datuk Koh Chin Han dan ADUN Kawasan Bemban, Datuk Ng Choon Koon.