Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akan dirujuk kepada jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina sensitiviti perkauman berhubung isu calit abu mayat Chin Peng di dahi wakil rakyat.

Tajuddin dari Barisan Nasional melakukan penghinaan yang serius terhadap agama Hindu apabila menanyakan Ahli Parlimen Jelutong R.S.N Rayer sama ada abu di dahinya adalah abu mayat Chin Peng yang juga bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM).

Kenyataan Tajuddin pada Selasa lepas itu dicatat dalam Penyata Rasmi muka surat 36.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran, ketika membawa usul itu pada akhir persidangan Dewan Rakyat pada Khamis berkata, pada 3 Dis lepas, Tajuddin telah mengeluarkan kenyataan yang menghina sensitiviti perkauman dan satu penghinaan agama Hindu yang amat serius dengan bertanyakan soalan itu kepada Rayer.

"Beliau telah menyinggung perasaan Ahli-ahli Yang Berhormat yang beragama Hindu dan turut mencemar prestij dan nama baik dewan yang mulia ini.

"Maka Yang Berhormat Pasir Salak hendaklah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di atas perbuatan Yang Berhormat yang boleh dianggap sebagai menghina Majlis," katanya.

Usul itu diluluskan tanpa bahas berikutan berlaku pertikaman lidah antara Ahli Parlimen daripada blok pembangkang yang mempersoalkan keperluan perbahasan itu dilakukan kerana Tajuddin telah dihukum gantung daripada menghadiri persidangan dewan sebelum ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming kemudiannya memutuskan usul itu diluluskan dengan suara teramai.

"Apabila saya meneliti keadaan dewan ini saya dapati pihak pembangkang tidak berminat untuk mengambil bahagian dalam perbahasan. Oleh kerana itu, ahli-ahli yang berhormat sekarang saya kemukakan masalah kepada majlis untuk diputuskan.

"Masalahnya ialah bahawa usul seperti yang dikemukakan Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia di bawah Perkara 6 itu tadi hendaklah disetujukan...Ahli Yang Berhormat yang setuju sila katakan setuju, yang tidak bersetuju katakan tidak.

"Lebih suara bersetuju, usul dipersetujukan," katanya.

-- BERNAMA