Selepas melontarkan kritikan terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pemimpin veteran UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjemput PBB ke Malaysia untuk ‘disekolahkan’.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu menyifatkan PBB langsung tidak memahami budaya dan sejarah negara yang melindungi hak bumiputera seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang saya maksudkan, PBB mahu menyamaratakan Malaysia seperti negara lain di dunia dengan peraturan dan syarat yang ditetapkan tetapi organisasi itu tidak tahu kedudukan serta keadaan sebenar negara,” katanya ketika ditemui di lobi bangunan parlimen, pada Isnin.

Tajuddin turut mempersoalkan kedudukan dan penubuhan PBB oleh barat seperti sedang melaksanakan penjajahan bentuk baru.

“Siapa yang mengawal PBB, mereka adalah dari barat yang dahulunya menjajah negara kita. Mereka seperti mahu kuasai ekonomi, politik, minda dan budaya kita.

“Tun Mahathir juga dulu sudah mengingatkan supaya kita berhati-hari dengan penjajahan bentuk baharu.

Dalam pada itu, Tajuddin mahu menjemput pihak PBB ke Malaysia untuk satu sesi dialog, yang membolehkan PBB ‘disekolahkan’.

Sebelum ini, pemimpin UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika berucap di Perhimpunan Kesyukuran Penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) baru-baru ini dilaporkan 'menyerang' PBB dengan mendakwa pertubuhan itu mempengaruhi hala tuju negara.