Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegur sikap sesetengah Ahli Parlimen yang tidak hadir ketika sidang Dewan Rakyat.

Dr Mahathir berkata sikap mereka memberi gambaran seolah-olah tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Ini kali kedua tidak cukup kuorum. Saya perlu berbincang dengan Ahli Parlimen kerana mereka hendak sangat jadi wakil rakyat sebelum pilihan raya.

"Tetapi bila sudah terpilih, mereka nampaknya tidak begitu serius untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya

Pada Rabu, sidang Dewan Rakyat ditangguhkan selama dua minit apabila bilangan Ahli Parlimen yang hadir tidak memenuhi kuorum.

Usul berhubung kekurangan kuorum dibangkitkan Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) ketika Dewan Rakyat baru memulakan sidang.

Hitungan dibuat Yang Dipertua Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mendapati hanya 24 Ahli Parlimen berada di dalam dewan.

Pada 17 Oktober lalu, situasi sama pernah berlaku apabila jumlah Ahli Parlimen tidak mencukupi sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2020.

Ditanya apakah kekurangan kuorum merupakan tanda penentangan terhadap beliau, Dr Mahathir menegaskan mana-mana Ahli Parlimen boleh memberikan pandangan secara terbuka.

“Banyak cara lain untuk mereka menyatakan pandangan, jika tidak suka saya. Mereka boleh katakan secara terbuka.

“Saya pun tertakluk kepada kritikan seperti biasa. Jika kita seorang pemimpin, kita memang menjangka akan dikritik,” katanya.

Mengenai ‘kerajaan pintu belakang’, Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang menolak kerajaan pintu belakang.

“Ya saya setuju dengan pandangannya itu. Mesti ikut jalan yang betul,” katanya.