Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari percaya kemungkinan besar pencemaran Sungai Selangor yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air di negeri ini buat sekian kalinya adalah daripada perbuatan khianat.

Beliau yang melihat sendiri kawasan terlibat pada Isnin memberitahu, minyak diesel dan benzena yang dikesan petang Ahad didapati masuk ke aliran air dari sebuah pontun yang sudah tidak beroperasi sejak dua bulan lalu.

Katanya, saluran minyak yang disambung pada motor pontun tersebut telah tercabut (atau dicabut), melepaskan kira-kira 100 liter minyak ke dalam sungai Selangor yang kemudian dikesan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.

“Saya lihat tadi salur yang keluar itu, tak mungkin terurai atau terkeluar disebabkan oleh angin ataupun hujan, sebaliknya ia disebabkan ada (tindakan) mekanikal atau ada orang yang tarik untuk mengeluarkan minyak tersebut.

“Sebab itu kita tak boleh nak nafikan ada tindakan sabotaj, kecuaian, atau tindakan kurang wajar oleh sesetengah pihak,” jelasnya dalam sidang media di LRA SSP2 di sini hari ini.

Susulan itu, Amirudin menggesa supaya semua pontun yang tidak beroperasi di perairan sungai Selangor dikeluarkan dengan kadar segera.

“Saya minta pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan badan penguat kuasa negeri.

“Kecuali setelah melalui beberapa proses dan mana-mana pontun yang tidak beroperasi harus ditarik keluar dan tidak dibiarkan di tengah sungai yang akan menyebarkan minyak dan sebagainya,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin memaklumkan bahawa polis telah memulakan siasatan terhadap laporan yang diterima berhubung dakwaan berlaku sabotaj dalam kes kali ini.

Pihaknya menerima laporan daripada pekerja syarikat pemilik pontun tersebut pada 10.30 malam Ahad mengatakan klip pada hos telah dicabut daripada tong minyak pada pontun terbabit.

“Pengadu menyatakan bahawa terdapat dua atau tiga orang berada di kawasan tersebut yang kelihatan seperti sedang memancing. Apabila ditegur supaya keluar daripada situ, mulanya mereka enggan. Jadi kemungkinan besar mereka lakukan sabotaj.

“Setakat ini pengadu hanya dapat kenal pasti motosikal digunakan mereka iaitu jenis Honda EX-5, tetapi tidak cam nombor pendaftaran. Kita akan siasat lebih lanjut untuk kenal pasti punca,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu pengkhianatan dengan cara merosakkan kerja-kerja pengairan atau secara salah menyimpang aliran air, yang memperuntukkan hukuman lima hingga 30 tahun penjara atau denda atau kedua-dua sekali jika disabit kesalahan.