Tiada sebab untuk berasa risau mengenai penggunaan infrastruktur 5G milik Huawei di Malaysia, terutamanya dakwaan kononnya teknologi itu digunakan untuk aktiviti pengintipan oleh China, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, keputusan kerajaan untuk terus menggunakan perkhidmatan syarikat gergasi China itu adalah perlu dalam usaha Malaysia mempelajari kemajuan teknologi mereka.

“Huawei, seperti yang kita ketahui, merupakan syarikat berteknologi tinggi, terutamanya dalam bidang telekomunikasi. Mereka telah membina telefon bimbit yang canggih sehingga mampu mencapai peringkat 5G. Jadi produk mereka jauh lebih baik berbanding telefon bimbit lain, terutamanya dari Amerika Syarikat.

“Mungkin orang di Amerika Syarikat takut diintip Huawei. Tetapi di Malaysia, tiada apa yang hendak diintipkan pun, apatah lagi dalam industri teknologi kita. Jadi kita mengalu-alukan kedatangan mereka, kita bekerjasama dengan mereka, dan kita pelajari teknologi mereka,” katanya dalam sidang media sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Jepun, yang berakhir hari ini.

Semalam, sewaktu di Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-25, anjuran Nikkei Inc, Dr Mahathir berkata, Malaysia akan terus menggunakan infrastruktur 5G milik Huawei, walaupun syarikat itu mengalami tekanan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau telah mula berlembut dengan China ekoran keputusan mengenai Huawei itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia mengambil pendirian yang munasabah.

“Saya rasa kita munasabah. Kita mahu bersahabat dengan semua negara di dunia ini, kita tidak mahu berperang dengan mereka. Kita tahu kekuatan mereka dan kita tahu kelemahan kita.

“Apabila kita lemah, kita mesti tahu mentadbir negara kita dan bukan bertindak seolah-olah kita negara yang kuat, dan hanya tahu menghentam negara lain. Itu bukan cara kita,” katanya lagi.

BACA: Malaysia tidak peduli, terus guna teknologi 5G Huawei - Tun M

BACA:AS perlu terima hakikat, Huawei mendahului produk mereka - Tun Mahathir