Cadangan supaya Tabung Haji (TH) ditutup disebabkan kelemahan pengurusan adalah tidak wajar kerana pertimbangan tersebut hanyalah berdasarkan kepada kebimbangan terhadap kualiti manusia yang menjalankan tugas.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, mengambil contoh permulaan Transit Aliran Ringan (LRT), ia berdepan masalah dan kerajaan membantu dengan memberikan suntikan dana kerana wujud kelemahan penilaian dalam soal penjualan tiket serta jumlah kos projek.

"Namun, projek tersebut pada hari ini memberikan pulangan selain menyediakan perkhidmatan awam yang dinikmati rakyat," katanya dalam Wacana Sinar Harian bersama Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali; Profesor dan mantan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Nazari Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Arba Foundation, Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Berikut ulasan penuh beliau dalam siri wacana yang berlangsung semalam:-

"Ini isu yang berlaku dalam semua industri termasuklah TH. Ia juga adalah perkara pada pandangan saya mempunyai hubungan dengan pasaran yang mengancam. Selain itu mungkin timbul kecuaian dalam isu pengurusan TH yang sepatutnya boleh dibaiki. Sepatutnya, apabila berlaku sesuatu masalah kita tidak boleh ketepikan TH. Sebagai manusia, Nabi Adam turut diberikan peluang kedua.

Dalam konteks TH, pimpinan baharu telah merangka pelan pemulihan dengan salah satu caranya adalah akan melaksanakan kaedah pelaburan sama seperti syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Saham Malaysia.

Mereka akan sediakan laporan bagi setiap bulan untuk melihat liabiliti aset TH dengan kata lain kita sebagai manusia boleh menjangkakan apakah hibah yang diperoleh lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga setahun.

Ada langkah-langkah pemulihan yang dijalankan oleh TH bagi menutup lompong-lompong yang dilakukan oleh manusia lepas.

Kalau TH selama ini telah lakukan satu kesilapan teknikal iaitu banyak melabur dalam pasaran saham seperti 70 peratus dalam aset berisiko tinggi dan 30 peratus dalam pelaburan simpanan tetap.

Kalau kita lihat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka lakukan sebaliknya, di mana pelaburan dalam simpanan tetap adalah 70 peratus.

TH bukan sama seperti syarikat-syarikat yang tersenarai dalam pasaran saham yang perlu tingkatkan nilai saham mereka.

Pada saya selaku penganalisis ekonomi, TH yang lepas tidak menghormati satu mantera pengurusan aset yang baik dan berhemah tinggi.

Kalau selama ini mereka letakkan 70 peratus pelaburan dalam simpanan tetap dan jika pasaran saham teruk, TH tidak akan berdepan dengan situasi seteruk ini. Berdasarkan laporan yang saya baca tiga hari lepas, pulangan saham di Malaysia pada 2018 hanya dua peratus sahaja.

Malah banyak tabung-tabung berasaskan ekuiti pulangan mereka lebih rendah berbanding dengan simpanan tetap di bank.

Hari ini pasaran saham di negara kita, pulangannya adalah negatif berbanding negara-negara Indonesia, Thailand dan sebagainya.

Cadangan saya, kalau boleh kerajaan kena bantu lagi dengan beri kupon bernilai satu atau dua peratus untuk simpanan.

Suntikan dalam bentuk sukuk itu tidak mampu membantu TH untuk masa hadapan bagi membina keuntungan untuk memberi hibah paling kurang tiga hingga empat peratus supaya pendeposit rasa selesa dengan pulangan simpanan mereka," katanya.

Mengulas mengenai peranan TH bermula 1969, Mohd Daud mengakui ia adalah institusi contoh kepada negara-negara Islam lain dari sudut pengurusan jemaah haji dan kewangan.

"Kalau kita lihat apa yang berlaku sebelum itu, datuk dan nenek kita terpaksa mengerjakan haji secara sendiri kerana tidak ada satu organisasi cekap menguruskan penempatan, pengangkutan, insuran, makan, minum dan sebagainya di Makkah.

"Selain itu, ia menjadi satu keperluan menabung kepada bakal-bakal jemaah haji untuk mereka menyiapkan simpanan mereka.

"TH datang tepat pada masanya untuk menguruskan dua perkara iaitu pengurusan urusan haji di Tanah Arab dan penabungan yang ada konsep hibah.

"Hibah adalah subsidi haji di mana pelaburan yang dibuat oleh TH ada keuntungan dan dapat diberikan kepada mereka yang tidak mampu.

"Dari segi kontrak syariahnya, pada pandangan saya pada 1969 mungkin tidak ada konsep yang jelas mengenai penabung dengan TH. Konsep ketika itu adalah menerima wang sebagai amanah untuk dilaburkan secara patuh syariah.

"Ia boleh disebutkan bahawa TH pada tahun tersebut seperti Bank Islam cuma mereka tidak boleh beri pinjaman sahaja. TH terkeluar daripada Akta Bank iaitu Akta Institusi Kewangan Islam.

"Apa yang menarik tentang TH adalah tidak terikat dengan Akta Syarikat tetapi boleh mengambil wang dan Akta Pasaran Modal 2007.

"Ia ada akta tersendiri seperti badan berkanun sama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi melaburkan wang pendeposit dengan tidak ada syarat untuk beri hibah tetapi mengikut budi bicara TH," katanya.