Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan takrifan perkataan ‘rompak’ tidak perlu didebatkan memandangkan ia harus dilihat dalam konteks yang luas dan perspektif berbeza.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai istilah ‘rompak’ melibatkan wang bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dianggap tidak tepat susulan Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Isnin, mendedahkan sebaliknya.

“Saya hanya (mahu) katakan, itu (perkataan rompak) macam mana kita mahu tafsirkan. Contohnya, sekiranya kita memberi peruntukan kepada KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), KPKT mesti menggunakan peruntukan itu untuk tujuan yang dinyatakan. Sekiranya ia digunakan untuk tujuan lain, itu ada istilah sendiri.

“Jadi, tentu PAC menggunakan apa yang saya sebut perkataan-perkataan yang mungkin selaras dengan budaya dan juga amalan Parlimen, tetapi maksudnya nyata sekali. Kalau kita lihat apa yang dinyatakan, apa yang dikeluarkan Peguam Negara pun nyata sekali,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Laporan PAC pada Isnin memperincikan bahawa kutipan GST tidak hilang, tetapi ia tidak disalurkan ke dalam Tabung Bayaran Balik GST, sebaliknya dimasukkan terus ke Akaun Hasil Disatukan kerajaan Persekutuan dan digunakan untuk perbelanjaan lain.

Siasatan PAC dijalankan susulan Guan Eng sebelum ini mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak “merompak” bayaran balik GST.

Ini susulan tunggakan bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion setakat 31 Mei 2018 dan Akaun Amanah Bayaran Balik GST hanya mengandungi RM150 juta.

Bagaimanapun semalam, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pemindahan dana bayaran balik GST ke Akaun Hasil Disatukan bercanggah dengan peruntukan undang-undang.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, pembangkang sengaja membangkitkan perkara tersebut bagi mengalih perhatian terhadap beberapa isu yang dihadapi oleh parti tersebut termasuk melibatkan perbicaraan kes mahkamah dan pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

“Itu biasa dia (pembangkang) nak alihkan perhatian tetapi itulah tugas mereka, kita faham jadi biar mereka jalankan tugas mereka masing-masing, kita pun jalankan tugas di pihak kami," ujar beliau lagi.

Bagaimanapun, tegas Guan Eng, kementeriannya tetap menghormati dua syor utama PAC berhubung perkara tersebut.

“Di sini saya tentu menghormati apa yang diputuskan oleh PAC dan kalau kita lihat dalam rumusan dan syor PAC, mereka tidak sentuh tentang perkara ini.

“Jadi, kalau nak sentuh tentang PAC, laporan PAC perkara ini (rompak) tidak disentuh. Tetapi tentu pihak pembangkang mahu sentuh, kalau mereka mahu ungkit, kita akan layan dan lawan mereka," ujarnya.