Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Taman Tugu kini di bawah Badan Amanah Awam - PM Najib

Taman Tugu kini di bawah Badan Amanah Awam - PM Najib
Projek Taman Tugu dilancarkan Perdana Menteri pada 4 Sept tahun lepas, dengan anggaran kos RM650 juta, yang 75 peratus atau RM500 juta dibiayai oleh Khazanah.- Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kerajaan telah meluluskan supaya Taman Tugu diletakkan di bawah satu badan amanah awam yang dinamakan Amanah Warisan Negara.

Katanya dengan wujudnya badan amanah awam itu, kawasan Taman Tugu akan dipindah milik kepada badan amanah awam yang dimiliki oleh rakyat negara ini bagi memastikan ia terus terpelihara dan kekal hijau buat selama-lamanya.
"Kawasan-kawasan hijau lain di seluruh negara ini juga bakal diletakkan di bawah Amanah Warisan Negara, bagi mengekal dan melindungi kawasan-kawasan tersebut untuk generasi anak cucu kita pada masa hadapan.

"Ini adalah komitmen dan janji kerajaan tatkala pihak kerajaan terus berusaha memastikan kesejahteraan rakyat," katanya dalam ucapan pada program "Sepetang Bersama Perdana Menteri Malaysia di Taman Tugu' di sini, hari ini.
Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Program itu adalah sebahagian daripada Hari Hasanah yang julung kali diadakan , iaitu hari yang menyaksikan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) bersama-sama dengan Yayasan Hasanah, Yayasan Khazanah, Institut Penyelidikan Khazanah, Think City, rakan kongsi rangkaiannya dan staf menyumbangkan masa dan tenaga mereka untuk melakukan kerja amal demi kebaikan pihak lain.

Hari Hasanah adalah satu daripada inisiatif di bawah kempen Khazanah 'Negaraku, Negara Kita' bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, bertujuan untuk menggalakkan dan pemupukan perpaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri turut mengumumkan kawasan tambahan seluas 10.12 hektar bersebelahan tapak Projek Taman Tugu sedia ada seluas 26.7 hektar, menjadikan keseluruhan kawasan seluas 36.82 hektar itu diletakkan di bawah Amanah Warisan Negara.

"Justeru itu, jumlah keluasan keseluruhan Taman Tugu ini akan menjadi 91 ekar (36.82 hektar). Jika Taman Tugu ini digabungkan dengan Taman Botani Perdana yang ada bersebelahan dengannya, jumlah keseluruhan taman hijau ini adalah sebanyak 331 ekar (133.95 hektar).

"Ini adalah serupa seperti bandar raya-bandar raya terkemuka seperti di London, New York dan Tokyo yang mempunyai kawasan green lungs di tengah-tengah bandarnya," katanya.

Projek Taman Tugu itu dilancarkan Najib pada 4 Sept tahun lepas, dengan anggaran kos RM650 juta, yang 75 peratus atau RM500 juta dibiayai oleh Khazanah, akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

Fasa pertama projek tanggungjawab sosial korporat Khazanah dengan kerjasama beberapa kementerian serta syarikat swasta iru dijadual siap pada pertengahan 2018.

Kawasan taman, yang terletak di belakang monumen Tugu Negara, kini diliputi hutan sekunder akan diubah menjadi sebuah taman rimba kota, dilengkapi kemudahan rekreasi dan pembelajaran untuk manfaat rakyat negara ini.

Sementara itu, perdana menteri dalam catatan di laman blognya NajibRazak.com berkongsi harapan mengenai Hari Hasanah yang aktiviti utamanya adalah melakukan amal kebajikan bagi manfaat segenap lapisan masyarakat.

"Saya yakin dan percaya semangat kesukarelawanan yang disemai pada Hari Hasanah ini apabila dilakukan dengan ikhlas dan tanpa mengharapkan balasan, mampu memupuk perpaduan, patriotisme dan semangat kekitaaan antara semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang," katanya.

Najib berkata inisiatif Hari Hasanah juga selaras dengan matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50) berpaksikan perpaduan, keterangkuman dan keterlibatan, yang ia mengambil kira aspirasi rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat.

Mengenai Taman Tugu, perdana menteri berkata apabila ia siap sepenuhnya kelak taman itu bakal menempatkan pelbagai tarikan termasuk 1,000 spesies flora dan fauna, kawasan perkhemahan, laluan mendaki dan pejalan kaki.

Sementara itu dalam satu lagi program Hari Hasanah yang diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di sini, yang disertai kira-kira 7,000 penduduk sekitar kawasan itu, Najib merasmikan gelanggang futsal Cruyff bagi Seri Semarak dan Air Panas.

Gelanggang serupa, di bawah usahasama Yayasan Hasanah dan Johan Cruyff Foundation sebelum ini dilancarkan di Kampung Melayu Majidee, Johor pada 2012, diikuti di Brickfields, di sini pada 2013.

Perdana menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dengan orang ramai pada program itu yang turut menyediakan program bantuan guaman dan keluarga selain dimeriahkan dengan tutorial mekap oleh Malaysia Airlines Berhad serta pelbagai bengkel untuk generasi muda dan tua yang dikendalikan oleh pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan secara percuma.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Shahira Ahmed Bazari semasa ditemui pemberita berkata penganjur bercadang menjadikan Hari Hasanah sebagai program tahunan pada Sabtu ketiga di antara sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

-- BERNAMA