Tutup

Tambak laut Pulau Pinang: PM kaji bantahan nelayan

Tambak laut Pulau Pinang: PM kaji bantahan nelayan
Sebahagian daripada aktivitis alam sekitar yang menyertai sekumpulan nelayan berhimpun di Parlimen pada Khamis bagi membantah projek tambakan laut di Pulau Pinang. - Gambar SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji bantahan nelayan berhubung projek tambakan laut melibatkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan menilai memorandum bantahan nelayan di negeri-negeri utara tanah air itu sebelum  mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita akan kaji pendapat mereka (nelayan) dan sekiranya benar dakwaan benar seperti disangka, maka kerajaan akan ambil tindakan secepatnya.

“Jika mereka kemukakan memorandum bantahan, kerajaan akan baca dan teliti,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Pagi tadi, kira -kira 200 nelayan dari Perak dan Pulau Pinang bersama aktivis alam sekitar berhimpun di pintu masuk Parlimen  bagi membantah projek tambakan laut melibatkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan negeri Pulau Mutiara itu.

Kesemua mereka yang berpakaian putih berhimpun di Tugu Negara bermula pukul 8 pagi sebelum berarak ke Parlimen kira-kira sejam kemudian.
Kumpulan berkenaan menyerahkan  memorandum bantahan mereka kepada beberapa kementerian termasuk kepada Dr Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta lapan kementerian lain.

Antara isi kandungan tuntutan mereka adalah menggesa campur tangan Kerajaan Persekutuan terhadap projek tersebut.

Menurut mereka, proses laporan penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA) projek tambakan laut oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga bersikap autokratik dengan mengabaikan bantahan dan pandangan awam.

Kesemua berkenaan turut menjelaskan, gambaran "penerimaan" segelintir nelayan terhadap projek berkenaan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang adalah daripada kelompok yang sudah bersara dan separuh masa, sedangkan projek berkenaan akan menjejaskan 10,000 nelayan sepenuh masa.

Selain itu, mereka turut membangkitkan aktiviti mengorek pasir di Perak untuk tambakan laut di Pulau Pinang adalah ibarat bom jangka yang akan menghakis pantai.


Tag: Tambak laut Pulau Pinang, PM kaji bantahan nelayan, Pulau Pinang, Perak, Parlimen, Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, tambak laut



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.