Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442 Hijrah/2020M.

Pada masa sama, Syeikhul Azhar al-Syarif, Syeikh Prof. Dr Ahmad Al-Tayyib pula diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada kedua-dua Tokoh Maal Hijrah berkenaan di Masjid Negara, ibu negara.

Ia turut disaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehawal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442 Hijrah/2020M disambut dengan Tema Ummah Rabbani Negara Harmoni.

Dr. Noor Hisham dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) pada 29 Januari 2008.

Beliau kemudian menjadi Ketua Pengarah Kesihatan sejak 1 Mac 2013.

Dr Noor Hisham merupakan Doktor Perubatan pada tahun 1988 dan Master of Surgery M.S (UKM) pada 1994.

Beliau juga Felo Academy of Medicine Malaysia (FAMM) 2004 dan turut mempunyai kelulusan Program Pengurusan Lanjutan, Oxford Business School, UK 2008.

Sementara itu, Syeikh Prof. Dr Ahmad Al-Tayyib pula merupakan Syeikhul Azhar al-Syarif pada tahun 2010 sehingga
sekarang.

Beliau pernah dilantik sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Wilayah Qena pada 27 Oktober 1991 hingga 31 Ogos 1991 dan Dekan Fakulti Pengajian Islam (lelaki) di Wilayah
Aswan, pada 15 November 1995.

Pada 10 Mac 2002 sehingga 27 September 2003, beliau juga merupakan Mufti Negara bagi Republik Arab Mesir dan kemudian menjadi Rektor Universiti al-Azhar bermula 28 September 2003 sehingga 19 Mac 2010.

Beliau memperoleh Sarjana Muda (Ba Hons.) dalam bidang Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir pada tahun 1969.

Selain itu, beliau turut memiliki Sarjana (MA) dalam bidang Akidah dan Falsafah di Universiti alAzhar, Republik Arab Mesir pada tahun 1971, Doktor Falsafah (PHD) dalam bidang Akidah dan Falsafah di Universiti al-Azhar, Republik Arab Mesir pada tahun 1977.