Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini menggesa lebih banyak pihak tampil membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes kehilangan hak tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Pengerusinya Mazlan Aliman berkata ini bagi memastikan semua yang terbabit dalam kes itu dibawa ke muka pengadilan.

"Kita akan turut buat laporan SPRM di Kuala Lumpur pada Selasa depan kerana kita percaya berlaku salah guna kuasa sehingga berlaku isu tanah Felda bertukar milik, dan sekiranya benar berlaku salah guna kuasa, kami berharap mereka yang terlibat dibawa ke mahkamah," katanya.

Mazlan berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung isu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berisiko kehilangan hak ke atas sebidang tanah bernilai kira-kira RM270 juta ekoran pemindahan hak milik pada 2015 yang didakwa 'meragukan'.

BACA: Felda ditipu: Jual tanah, tapi tak dapat duit

BACA: Pindah milik tanah Felda: Tiada unsur rasuah, hanya kelemahan tadbir urus - SPRM


Semalam, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata Felda bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah itu.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata beliau mahu siasatan terperinci dilakukan berhubung kes itu.


"Saya telah minta Felda mengambil tindakan yang sepatutnya bagi melindungi kepentingan Felda setelah dimaklumkan mengenai isu tanah di Jalan Semarak.

"Kepentingan Felda dan peneroka mesti sentiasa kita jaga dalam segala usaha pembangunan," katanya menerusi laman sosial Twitter hari ini.


-- BERNAMA