Kerajaan hari ini menawarkan nilai RM1,000 satu kaki persegi bagi keseluruhan 825 lot tanah di Kampong Baru, di ibu negara.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata daripada jumlah itu, RM150 adalah pulangan dalam bentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (PSV) yang akan ditubuhkan kelak.

“Tambahan lagi, potongan harga sejumlah 15 peratus akan diberikan kepada pemilik tanah yang memilih untuk membeli harta tanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan kelak.

“Sebagai contoh harga rumah Residensi Wilayah yang dibangunkan di Kampong Baru ini akan dijual kepada pemilik tanah pada harga RM255,000 se unit sahaja dengan keluasan lantai 900 kaki persegi berbanding harga biasa iaitu RM300,000.00 se unit,” katanya pada sidang media di Menara DBKL di sini hari ini.

Khalid (kiri) menunjukkan replika cadangan pembangunan hartanah di Kampong Baru dengan disaksikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Hadir sama pada sidang media tersebut adalah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Tan Sri Ambrin Buang dan Pengerusi Anggota Majlis Penasihat, Datuk Mohd Zikay Ibrahim.

Ujarnya, tawaran tersebut adalah hasil perbincangan pada sesi town hall bersama para pemilik tanah pada 21 September lalu serta pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak dua kali.

Malah, pihaknya juga menyediakan para pegawai untuk memberi penerangan terperinci berhubung perkara tersebut.

Kerajaan hari ini menawarkan nilai RM1,000 satu kaki persegi bagi keseluruhan 825 lot tanah di Kampong Baru. - Gambar fail

Bagi pemilik tanah yang ingin mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, anda boleh berhubung terus dengan Perbadanan Pembangunan Kampong Baru (PKB) pada bila-bila masa.

Justeru, beliau menyeru kesemua pemilik tanah Kampong Baru yang terlibat dalam rancangan pembangunan semula ini untuk mengemukakan borang maklumbalas mengenai persetujuan pembangunan semula dalam tempoh lima minggu berakhir 30 November.