Tutup

Tanah mendap: SPAN mahu Air Selangor siasat punca insiden

Tanah mendap: SPAN mahu Air Selangor siasat punca insiden
Sebuah kereta mengalami kemalangan kecil apabila terjerlus ke dalam lubang yang terjadi akibat tanah mendap di laluan Jalan Maharajalela menghala ke Jalan Loke Yew di sini 24 Nov lalu. - Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengarahkan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd melakukan siasatan segera bagi mengenal pasti punca mendapan tanah yang berlaku akibat paip bawah tanah pecah, di ibu negara, pada Ahad.

Menurutnya, setakat awal pagi ini, pihak kontraktor Air Selangor telah selesai menjalankan kerja-kerja baik pulih paip yang pecah dan penurapan semula permukaan jalan yang rosak.
SPAN berkata demikian merujuk kejadian tanah mendap di Jalan Maharajalela menghala ke Jalan Loke Yew di sini, yang berlaku pada malam 24 Nov lalu.

"Berdasarkan siasatan awal oleh pihak Air Selangor, tiga kejadian yang berlaku dalam tempoh kurang 48 jam antara satu dengan lainnya, berkemungkinan berpunca dari pergerakan tanah yang disebabkan oleh gegaran atau hentakan yang kuat.
"Ini biasa terjadi apabila kedudukan paip berada tidak jauh dari kawasan pembinaan atau kedudukan paip berada di bawah permukaan jalan raya.

"Selain itu, pergerakan tanah juga boleh disebabkan oleh aliran air bawah tanah akibat hujan sehingga menyebabkan struktur tanah menjadi lembut dan mengakibatkan paip patah berikutan kelompangan tanah yang tidak lagi menggenggam paip tersebut.

"Paip pecah juga boleh berlaku akibat tekanan air yang tinggi di mana paip tidak dapat menampung tekanan tersebut terutama paip-paip lama khususnya dari jenis asbestos cement (AC)," kata SPAN dalam satu kenyataan hari ini.

Merujuk kepada kes di Jalan Maharajalela tersebut, SPAN berkata, pihak Air Selangor telah melaksanakan penyelarasan semula tekanan air sehingga mencapai tekanan optimum.

Ia termasuk pemasangan end cap pada paip tepi jalan dan membuat pengalihan tapping untuk 10 buah premis pelanggan yang menerima bekalan air daripada paip tersebut.

BACA: Kenderaan jerlus dalam lubang akibat tanah mendap

Sementara itu, merujuk kejadian di Jalan Pinang dan jalan di hadapan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula, pihak Air Selangor mendapati paip bersaiz 300mm jenis AC telah pecah.

"Sebagai tindakan segera, operator telah memasang pressure logger bagi tujuan analisa profil tekanan bagi menstabilkan sistem bekalan air kawasan tersebut.

"Dalam pada itu, kawalan injap telah dilaksanakan dengan segera dan pemantauan tekanan di ‘target point’," kata SPAN.

VIDEO: Tayar kiri kenderaan jenis MPV termasuk lubang di Jalan Pinang

Suruhanjaya itu juga telah mengarahkan Air Selangor untuk memantau kawasan-kawasan lain yang berisiko bagi mengelakkan situasi sama berulang terutama pada musim hujan yang dijangka berpanjangan sehingga Februari tahun hadapan.