Tanah di perkampungan asal harus disukat dan diiktiraf sebagai tanah adat bumiputera, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, tanah itu juga harus mempunyai geran dan tidak boleh dijual ataupun dikategorikan sebagai tanah "mix-zones" bagi menjamin hakmilik sepenuhnya ke atas lot kediaman di kampung yang telah lama wujud.

"Tanah tradisi yang saya maksudkan ini adalah tanah atau perkampungan yang sudah wujud sebelum tahun 1958, maka penduduk kampung layak mendapat geran tanah untuk lot kediaman mereka.

"Itu antara dasar terbaharu Kerajaan Negeri dalam usaha menjaga dan mengekalkan tanah adat bumiputera. Justeru itu, kerajaan mewujudkan Yayasan Amanah Satok untuk menjaga kedudukan tanah adat," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, setakat ini di kawasan Kuching sahaja, 18,000 geran tanah asal telah diberikan kepada pemilik tanah.

Katanya, melalui pengukuran tanah yang dilaksanakan, sempadan tanah menjadi jelas dan diketahui bagi mengelakkan sebarang pencerobohan dan pertikaian.

Pada majlis itu, 59 surat Hakmilik Tanah diserahkan kepada penduduk Kampung Kudei Baru untuk kegunaan kediaman.

-- BERNAMA