Cadangan UDA Holdings Berhad (UDA Holdings) supaya kerajaan membenarkan Tanah Rizab Melayu (TRM) dipajakkan kepada bukan Melayu untuk meningkatkan kebolehpasaran tanah tidak dapat dilaksanakan buat masa ini ekoran sekatan dalam Enakmen Rizab Melayu Negeri-Negeri.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), enakmen itu menyekat sebarang pelupusan sama ada dalam bentuk pajakan atau pindah milik kepada bukan Melayu, dan ia perlu dipinda jika kerajaan mahu melaksanakan cadangan berkenaan.

"Namun begitu, kaedah penyewaan tanah boleh diguna pakai tetapi tertakluk kepada tempoh tidak melebihi tiga tahun selaras peruntukan yang dinyatakan dalam Kanun Tanah Negara 1965 dan peruntukan Enakmen Rizab Melayu Negeri masing-masing," menurut kenyataan itu merujuk kepada cadangan UDA Holdings berhubung rancangan syarikat itu untuk membangunkan TRM.

Kementerian itu turut menjelaskan bahawa Kanun Tanah Negara 1965 tidak menghalang TRM kategori pertanian untuk dibangunkan melalui proses pecah bahagi kepada lot-lot yang lebih kecil bagi meningkatkan nilai tanah orang Melayu, namun ia tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

Mengenai kelonggaran daripada segi syarat pemilikan, Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan 'Tanah Simpanan Melayu' sebagai tanah yang disimpan untuk diberi hak milik kepada orang Melayu atau kepada anak negeri bagi negeri tempat terletaknya tanah itu.

"Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan tafsiran 'Melayu' dalam Enakmen Rizab Melayu Negeri-Negeri. Dalam hal ini mengenal pasti siapakah yang diiktiraf sebagai 'Melayu' dalam setiap Enakmen Rizab Melayu adalah penting bagi mengenal pasti siapakah yang dibenarkan berurusan dengan TRM ini.

"Kelonggaran juga tertakluk kepada peruntukan yang ada dalam Enakmen Rizab Melayu Negeri masing-masing," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan semakan kementerian, negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang mengguna pakai Enakmen Rizab Melayu (FMS Cap 142), sementara Kelantan, Kedah, Perlis, Johor serta Terengganu mempunyai Enakmen Rizab Melayu masing-masing manakala tiada Enakmen Rizab Melayu di Pulau Pinang dan Melaka.

-- BERNAMA