Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan berlaku tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands pada tengah malam tadi.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, kejadian berlaku di Seksyen 31.6, Laluan FT 185 kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, kawasan terlibat adalah sepanjang 100 meter dengan kedalaman 20 meter.

“Satu laluan arah utara telah ditutup selain pemasangan papan tanda keselamatan dan pemantauan oleh pihak Jabatan Kerja Raya serta syarikat konsesi Belati Wangsa,” katanya di sini, hari ini.

Di samping itu, kata Abdul Yunus, arahan kerja juga telah dikeluarkan kepada kontraktor untuk pemilikan tapak pada Isnin.

“Kontraktor akan mulakan kerja dengan segera selepas insuran kerja diperolehi,” ujarnya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berwaspada apabila melalui kawasan berkenaan, lebih-lebih lagi jumlah kenderaan dijangka bertambah kerana cuti hujung minggu.

“Pihak yang berkaitan telah mengambil tindakan segera bagi membendung kejadian buruk daripada berlaku,” katanya.