Tutup

Tanah runtuh: Kerajaan negeri perlu henti projek di kawasan bukit - SAM

Tanah runtuh: Kerajaan negeri perlu henti projek di kawasan bukit - SAM
Kerajaan negeri Pulau Pinang digesa supaya menghentikan projek pembinaan membabitkan kawasan bukit dengan serta-merta susulan kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus. -Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Pulau Pinang digesa supaya menghentikan projek pembinaan membabitkan kawasan bukit dengan serta-merta susulan kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata kerajaan negeri perlu mengambil tindakan sedemikian dan bukan hanya memberi alasan seperti hujan lebat dan fenomena alam yang mengakibatkan kejadian tanah runtuh.
Meenakshi menegaskan bahawa ini bukan kali pertama tragedi sebegini berlaku kerana kejadian tanah tanah di lereng bukit berhampiran projek perumahan mampu milik setinggi 50 tingkat di Lengkok Lembah Permai Tanjong Bungah pernah berlaku pada 21 Oktober 2017.

“Kerajaan negeri perlu menghentikan projek pembinaan di kawasan bukit dengan serta-merta. Ini bukan kali pertama kejadian tanah runtuh berlaku.
“Ini bukan takdir Tuhan atau kerana hujan yang melanda. Ia memang kejadian yang berlaku kerana kecuaian.

“Jadi kami tidak terima alasan bahawa kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang boleh melakukan pembangunan di atas cerun-cerun bukit kerana mereka memang tidak ada kapasiti untuk menjalankan kerja pembinaan di situ,” tegasnya.


Berdasarkan pemerhatian pihaknya, Meenakshi berkata walaupun sudah kerap kejadian tanah runtuh berlaku, pihak berkuasa tidak mengambil serius tentang tragedi yang melanda sehingga menyebabkan kejadian serupa berulang.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan rasional kerajaan negeri bertindak meluluskan projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di kawasan lereng bukit yang mempunyai kecerunan hampir 90 darjah.


“Kami tidak setuju dengan pendirian Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang mengatakan kerajaan negeri akan teruskan projek-projek atas lereng bukit. 





“Jangan meluluskan apa-apa projek atas lereng bukit lagi untuk menjamin keselamatan pekerja dan juga orang awam,” tambahnya.

Projek di Bukit Kukus dihentikan awal bulan ini ketika kejadian tanah runtuh pertama berlaku.

Namun pada Jumaat lepas, sekali lagi runtuhan berlaku dan kali ini melibatkan kematian pekerja. 



Tag: Ketua Menteri, kerajaan negeri, Pulau Pinang, projek, pembinaan, bukit, lereng, tanah runtuh, Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Sahabat Alam Malaysia, SAM



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.