Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini disambung hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Moktar berkata operasi SAR yang memasuki hari keempat hari ini bermula pada 8 pagi selepas ditangguhkan pada 7 malam semalam.

Beliau berkata operasi SAR pada hari ini memberi tumpuan kepada mencari kontena ke-13 yang dipercayai berada di sektor 2 yang terbenam kira-kira 20 meter dalam runtuhan tanah.

"Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) membuat pemeriksaan pada 7 pagi tadi dan keadaan di kawasan tanah runtuh selamat untuk menjalankan operasi SAR.

"Keadaan tanah stabil dan berharap cuaca baik untuk pasukan penyelamat melaksanakan operasi SAR hari ini," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

BACA: Tragedi Bukit Kukus: Mayat ketujuh tidak sempurna - Polis

Saadon berkata operasi SAR juga akan dipantau oleh JMG bagi memastikan keadaan sentiasa selamat dan tiada pergerakan tanah, bagaimanapun operasi akan dihentikan serta-merta sekiranya hujan.

"Hujan itu bukan hanya dikira di kawasan tanah runtuh sahaja tetapi jika hujan di kawasan berhampiran terutama di kawasan bukit, operasi SAR akan dihentikan kerana akan berlaku aliran air yang kemungkinan boleh masuk ke kawasan cerun di tanah runtuh ini dan menyebabkan berlaku pergerakan tanah," katanya.

Beliau berkata kira-kira 100 anggota dan pegawai pasukan penyelamat dari pelbagai agensi serta jabatan terlibat dalam operasi SAR hari ini.

BACA: NGO salahkan Kerajaan Pulau Pinang akibat kejadian tanah runtuh maut

Kejadian tanah runtuh yang dilaporkan pada 1.56 tengah hari Jumaat itu sehingga kini menyebabkan tujuh pekerja asing maut, empat cedera manakala tiga lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah yang menimbus kontena serta rumah kongsi pekerja binaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Mereka yang ditemukan maut setakat ini ialah dua lelaki warga Indonesia, empat lelaki Bangladesh serta seorang wanita Myanmar.

-- BERNAMA