Empat pekerja di stesen telekomunikasi Bukit Larut di sini, terperangkap akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku di laluan jalan tar kawasan terbabit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kesemua mangsa bagaimanapun berada dalam keadaan selamat.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.52 pagi di stesen telekomunikasi Bukit Larut, setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati terdapat empat orang mangsa.

"Dua darinya merupakan staf di stesen telekomunikasi itu dan dua lagi merupakan pengawal keselamatan yang terperangkap di stesen tersebut.

"Mangsa mengalami kesukaran untuk untuk turun kerana tanah runtuh berlaku di kawasan itu,"katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujarnya lagi, operasi menurunkan mangsa sedang dijalankan dan kerja-kerja mengalihkan tanah runtuh sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Sementara itu, terdahulu MPT dalam kenyataannya memaklumkan operasi di Bukit Larut terpaksa ditutup sementara waktu bermula 9 November hingga 11 November.

Ia bagi membolehkan kerja pembersihan pokok tumbang dan tanah runtuh di beberapa kawasan terbabit.

Bagaimanapun, katanya pelawat yang ingin beriadah dan berjalan kaki, masih boleh menjalankan aktiviti tersebut seperti biasa, dari kaki bukit sehingga Tea Garden.