Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor mengarahkan 340 mangsa di Taman Idaman di sini dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Sekolah Rendah Agama Serendah.

Arahan telah dikeluarkan bagi membolehkan jawatankuasa teknikal memeriksa struktur di kawasan berkenaan.

Menurut Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, risiko tanah runtuh masih wujud susulan pergerakkan tanah di kawasan runtuhan terbabit.

Pihaknya telah mengambil langkah awal dengan menutup kawasan runtuhan yang berisiko tinggi dengan menggunakan kanvas bagi menggelakkan berlaku pergerakkan tanah.

"Faktor cuaca dimana sekarang ini kita dalam musim monsun dan kawasan Hulu Selangor menerima hujan hampir setiap hari.

"Oleh yang demikian, berdasarkan elemen cuaca kita melihat pergerakkan ini yang besar masih berlaku sekiranya cuaca tidak baik, mana ada hujan yang lebat jadi tanah dan air akan bergerak.

"Apabila berlaku hujan dan ia menyebabkan pergerakkan dan pergerakkan ini boleh menambah lagi risiko terhadap rumah-rumah berdekatan", katanya ketika dihubungi oleh Astro Awani di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula mahu tindakan yang lebih proaktif diambil untuk menjamin keselamatan rakyat.

Menerusi tweet beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor akan segera mengambil alih kerja-kerja membaik pulih jalan yang runtuh.

Mohamed Azmin turut berkata, kos pembaikan akan dibiayai oleh peruntukan kerajaan negeri.