Bekalan air ke tiga buah taman perumahan sekitar Taman Idaman, kawasan insiden tanah runtuh di Serendah disambung semula pagi ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Supramaniam Ramasamy, kawasan tersebut adalah Taman Idaman, Taman Cempaka dan Desa Anggerik.

Manakala baki lima lagi taman perumahan yang diputuskan bekalan air sejak semalam susulan kejadian tanah runtuh pada awal pagi Sabtu itu akan disambung secara berkala.

"Sementara taman perumahan lain masih lagi tidak ada air, jabatan pengurusan air Selangor telah menyediakan tangki air untuk kegunaan penduduk terjejas.

"Lori air Syabas juga datang secara berkala untuk menampung keperluan di sini," katanya dalam sidang media di pusat operasi bencana di Sekolah Rendah Agama Serendah di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan kerja-kerja menanam cerucuk besi untuk mengukuhkan struktur tanah di Jalan Melati sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya hari ini.

Pada masa sama, ketika ini juga pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang giat menjalankan analisa struktur tanah kawasan terlibat.

"Aliran air didapati masih ada dan pasukan teknikal masih menjalankan siasatan.

"Berbanding semalam, setakat ini tiada runtuhan baru walaupun malam tadi hujan lebat," katanya.

Setakat jam 12 hari kedua operasi, direkodkan 120 orang daripada 27 keluarga menumpang di pusat pemindahan sementara bencana SRA Serendah, manakala 31 keluarga menginap di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun kata Supramaniam, masih ada tujuh lagi keluarga yang belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beliau sekali lagi meminta mereka untuk tampil berbuat demikian demi kelancaran urusan pihak berkuasa.

Selain itu beliau turut memaklumkan dua buah kereta juga berjaya dikeluarkan daripada timbusan tanah dan masih berbali lima buah kenderaan lagi untuk dikeluarkan dalam masa terdekat.