Tanah runtuh Tanjung Bungah: Mayat keempat ditemui, operasi SAR ditamatkan

Tanah runtuh Tanjung Bungah: Mayat keempat ditemui, operasi SAR ditamatkan
Setakat pagi Rabu, identiti kesemua mangsa belum dapat dikenalpasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa. - Foto JBPM
BATU FERRINGHI: Susulan kejadian tanah runtuh di tapak binaan tembok penahan tanah di Lost Paradise Resort di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah,  Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR)  empat mangsa runtuhan itu ditamatkan selepas mayat terakhir ditemui berhampiran mangsa lain pada jam 3.35 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, keempat-empat mangsa berjaya dikeluarkan selepas hampir enam jam tertimbus didalam longkang yang dipenuhi besi cerucuk.


Katanya mayat pertama berjaya dikeluarkan pada jam 1.59 pagi disusuli mayat kedua pada jam 2.33 pagi dan mayat ketiga pada jam 3.10 pagi.

Kesemua mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang ( HPP) untuk bedah siasat.

BACA: Usaha keluarkan mayat giat dilakukan

Beliau berkata , setakat pagi ini, identiti kesemua mangsa belum dapat dikenalpasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.

Bagaimanapun, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak kedutaan berhubung  identiti mangsa.

"Proses mencari ini ditamatkan selepas kita menemui semua mangsa yang terlibat dan malang sekali mangsa yang kita jumpa ini tidak mempunyai sebarang dokumen yang positif untuk dikenalpasti identiti mereka, walau bagaimanapun kita akan merujuk ke kedutaan bagi mendapatkan butiran lanjut dan bantuan melalui cap jari yang kita kesan daripada mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi pagi ini.

Dalam pada itu, Che Zaimani berkata, tiga mayat ditemui dalam keadaan berdiri dan masih memegang besi cerucuk manakala seorang lagi ditemukan terbaring berdekatan tiga mangsa berkenaan.

 tiga mayat ditemui dalam keadaan berdiri dan masih memegang besi cerucuk manakala seorang lagi ditemukan terbaring berdekatan tiga mangsa berkenaan. - Foto JBPM

Menurutnya, pasukan SAR terpaksa mengambil masa agak lama untuk mengeluarkan mangsa berikutan tubuh masih tercucuk besi berkenaan.

"Keadaan mangsa dalam berbagai keadaan, dua daripadanya dalam keadaan berdiri masih memegang besi cerucuk dan proses mencari dan menyelamat agak lewat disebabkan banyak  besi cerucuk yang berada di tempat kejadian mereka sedang memasang  besi cerucuk untuk pasang dinding penahan, proses (menyelamat) terganggu kerana banyak besi besi dan sebahagian mangsa tercedera akibat besi ini,"  tambah beliau lagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.25 malam Selasa, empat pekerja asing warga Myanmar maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tebing Jalan Batu Feringghi.

Operasi SAR melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Pulau Pinang,
Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Kedah, Polis diraja Malaysia ( PDRM ) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Tag: PDRM, Hospital, Myanmar, polis, maut, bomba, mayat, mangsa, tanah runtuh, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, pekerja asing, Malaysia, JBPM, Tanah runtuh Tanjung Bungah


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.