Kecurigaan seorang warga emas dengan kemunculan sekumpulan individu yang tidak dikenali di kawasan sawah padi di Bukit Rambai, Melaka terjawab.

Ini selepas menemui bungkusan kain berwarna putih dipercayai mengandungi janin yang ditanam berhampuran pokok di tepi sawah berkenaan.

Penduduk kampung yang juga saksi kejadian, Ajmihat Kudus berkata, sudah menjadi kebiasaan selepas solat subuh memotong rumput berhampuran rumah untuk dijadikan makanan angsa peliharaannya.

Namun ketika kejadian, warga emas berusia 70 tahun itu terdetik untuk menukar lokasi mencari rumput di kawasan sawah miliknya sebelum terserempak dengan sekumpulan tiga lelaki yang tidak dikenali sekitar pukul 8 pagi yang sedang menggali lubang.

Dia kemudian bertanyakan kepada mereka sebelum salah seorang cuba menjawab, keberadaan mereka di situ hanyalah untuk mencari tanah hitam.

Bagaimanapun, melihat peralatan seperti cangkul dan satu kotak berwarna cerah yang dibawa kumpulan lelaki itu membuatkan warga emas berkenaan berasa curiga dan berpura-pura terus memotong rumput.

"Saya curiga dengan tindakan mereka itu namun saya berpura-pura potong rumput.

"Sebaik selesai urusan, mereka lalu di hadapan saya dan saya terus mengambil nombor pendaftaran motosikal salah seorang daripada mereka," kata Ajmihat.

Warga emas itu kemudian bergegas ke tempat yang digali sebelum terlihat kesan yang mencurigakan lalu menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menerima laporan sekitar pukul 11 pagi Ahad.

Ujarnya siasatan sedang giat dijalankan bagi mengetahui usia janin dan mengesan suspek yang disyaki terlibat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.