UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) muncul sebagai pusat pendidikan tinggi awam pertama menyahut syor Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu universiti awam menempatkan Sasterawan Negara di menara gading masing-masing, dengan memberi penghormatan kepada Datuk Seri A. Samad Said.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pihaknya telah menyampaikan hasrat untuk memberi penghormatan kepada A. Samad yang mesra dikenali sebagai Pak Samad untuk dilantik di bawah program penempatan Sasterawan Negara.

Menurut Hassan Basri, UniSZA optimis langkah pihaknya mengangkat A. Samad akan memberi sumbangan yang besar bagi berkongsi ilmu dan menyebar luas karya-karya beliau kepada pelajar dan masyarakat.

"Saya percaya para Sasterawan Negara wajar diberi kedudukan yang tinggi sebagai tanda menghargai sumbangan mereka dalam memartabatkan sastera negara.

"Sasterawan Negara ada sumber ilmu dan saya yakin kehadiran beliau di bawah program penempatan akan membantu kita dalam usaha terus memartabatkan bidang sastera negara," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

A. Samad juga, jelas Hassan Basri, menyambut baik pelawaan daripada UniSZA.


Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berbesar hati kesediaan A. Samad Said menerima undangan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin.

Dalam masa sama, UniSZA juga akan mengadakan Galeri Pak Samad yang akan memuatkan semua karya dan dokumentasi beliau termasuk naskhah-naskhah yang telah dijadikan drama atau filem.

"Pak Samad juga telah menyatakan persetujuannya untuk memberikan kepada Galeri UniSZA bahan-bahan dan hasil tulisan berharga beliau untuk disimpan di galeri tersebut bagi tatapan generasi pelajar dan generasi muda khususnya untuk mendidik mereka menyanjungi karya-karya dan hasil ilmiah Sasterawan Negara," kata beliau lagi.

Baru-baru ini, Maszlee menyarankan universiti awam menempatkan Sasterawan Negara supaya mereka tidak dipinggirkan, sebaliknya diletakkan di kedudukan yang baik.