Pembukaan semula sesi persekolahan terutama bagi pelajar atau calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), 24 Jun lalu banyak memberi impak khususnya kepada pihak pengurusan sekolah.

Bagi pihak pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Abu Bakar, pengenalan sistem lampu isyarat di tandas menjadi inisiatif terbaharu dalam mematuhi peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Menurut pengetua, Mohd Noor Saad menjelaskan idea dalam melaksanakan inisiatif terbabit diilhamkan daripada saranan pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah yang mahu melihat inovasi baharu dalam perlaksanaan SOP di peringkat sekolah.

"Kalau di dalam tandas pelajar contohnya, kalau katalah lampu tu ada lima, (yang boleh diubah jadi lampu merah atau hijau). Ini bermakna, lima sahaja pelajar dibenarkan masuk. Kalau lampu hijau maksudnya di dalam ruangan tandas tu kosong.

"Kalau lampu itu merah bermakna ada pelajar menggunakannya. Sebelum tu dia perlu baca dulu tatacara penggunaan tandas dia tekan lampu, lampu akan naik kepada lampu merah. Selepas tu dia keluar dia akan tekan balik kepada lampu hijau," ujar Pengetua SMK Syed Abu Bakar, Mohd Noor Saad.



Tambahnya, setakat lima hari pelaksanaan, kesemua peraturan atau syarat yang ditetapkan melalui sistem lampu isyarat terbabit dipatuhi kesemua pelajar meskipun wujud rasa kekok pada hari pertama sistem terbabit diperkenalkan.

Bagi Guru Cemerlang SMK Syed Abu Bakar, Mohammad Noor Azlan Idris, menyatakan bahawa respons yang diterima daripada pelajar amat positif khususnya dalam mengetahui waktu yang sesuai untuk ke tandas sekaligus tidak berada dalam keadaan yang bersesak sesak.

"Memang pelajar-pelajar rasa macam teruja. Mula-mula kita memang takut juga, jika pelajar itu tak patuh dan main tekan saja, tapi yang kita nampak, mereka sangat disiplin dan mereka sendiri pun rasa macam benda ini sangat baik.

"Ada pelajar yang kata terima kasih kerana buat (sistem) macam ini. Dari jauh dah nampak - kalau lampu merah bermakna ada orang, kalau nampak hijau maka boleh pergi. Satu perkara yang paling penting boleh dipraktikkan oleh pelajar adalah disiplin," ujarnya.



Sementara itu bagi, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad menyifatkan inisiatif yang sangat baik itu perlu dijadikan contoh kepada sekolah-sekolah lain khususnya dalam bersama-sama mencegah penularan wabak COVID-19.

"Saya kira ini sebagai satu contoh yang terbaik yang perlu dikembangkan ke sekolah-sekolah yang lain kerana pematuhan disiplin ini adalah suatu yang amat penting sebenarnya dalam masyarakat," ujarnya.

Ahli Jawatankuasa PIBG SMK Syed Abu Bakar, Mohd Saufi Ramli, juga turut menyatakan bahawa perlaksanaan sistem lampu isyarat tandas memberi banyak perubahan positif khususnya kepada sikap anak anak apabila pulang ke rumah..

Tambahnya, sikap terpuji dalam mematuhi SOP yang ditetapkan di sekolah sentiasa dijadikan amalan dan rutin harian termasuk apabila meluangkan masa bersama keluarga.



"Dari sudut ibu bapa, kami melihat perubahan yang berlaku di peringkat sekolah dan implikasinya telah dibawa ke peringkat rumah. Ada satu pengajaran yang amat berkesan yang diketengahkan oleh pihak sekolah dan pengajaran ini dibawa ke rumah. Bagi pihak PIBG mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak sekolah atas inisiatif yang diusahakan oleh pihak sekolah," jelasnya.

Selain daripada menjadi platform dalam meningkatkan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan kerajaan, pelaksanaan sistem terbabit juga bertujuan untuk keselamatan dan kesihatan semua warga sekolah semasa penggunaan tandas di sekolah.