Kerajaan harus memantau dan menangani isu kesihatan mental dengan lebih berkesan, terutamanya berhubung ketagihan permainan video, khususnya yang melibatkan golongan belia.

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan, kajian menyeluruh perlu dijalankan bagi menentukan keadaan sebenar ketagihan tersebut di kalangan masyarakat ketika ini.

Menurutnya, masalah kesihatan mental sangat penting diberi perhatian kerana ia melibatkan tahap produktiviti dan taraf sosio-ekonomi seseorang.

"Wajar dibuat penyelidikan terperinci untuk melihat sejauh mana penyakit ini telah memberi kesan kepada masyarakat kita, terutamanya di kalangan generasi belia.

"Kerajaan perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai isu ini supaya ibu bapa dapat membimbing anak-anak mereka.

"Ini supaya mereka tidak terdedah secara berlebihan terhadap permainan digital dan video, dan akhirnya boleh menjadi ketagih," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau juga menggesa pesakit kesihatan mental supaya mendapatkan rawatan walaupun ramai di antara mereka yang menafikan hakikat bahawa mereka sebenarnya mengalami ketagihan.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan mungkin mengklasifikasikan ketagihan permainan video sebagai masalah kesihatan mental pada 2018 dalam draf Klasifikasi Penyakit Kebangsaan (ICD) terkini.