Tangisan bayi selamatkan 9 sekeluarga dalam kebakaran di Kota Bharu

Tangisan bayi selamatkan 9 sekeluarga dalam kebakaran di Kota Bharu
Keluarga mangsa berdepan dugaan menjelang beberapa hari lagi Aidilftri setelah rumah hangus dalam kejadian semalam. -Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Tangisan bayi berusia 33 hari menyelamatkan nyawa sembilan sekeluarga dalam kebakaran rumah sewa di Kampung Pengkalan Nangka, di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 7.20 malam, Noor Afiza Yusof, 40, bersama suami Che Abdullah Che Su, 54, serta enam anak mereka sedang menunggu waktu berbuka di dapur, manakala bayi pasangan itu pula bersendirian di ruang tamu rumah.

Ketika beberapa minit lagi waktu berbuka, Noor Afiza terdengar tangisan bayinya, Nor Aira Qairina.

“Saya pergi untuk mengambilnya dan semasa hendak membawanya ke dapur itulah saya terlihat kepulan asap dalam rumah.
“Saya bergegas memberitahu suami dan kami membawa semua anak keluar menyelamatkan diri melalui pintu dapur.

"Suami sempat melihat api marak dari bilik tidur salah seorang anak kami,” kata Noor Afiza kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selain rumah sewa yang hangus, api turut memusnahkan kereta Proton Waja, Nissan Sentra dan motosikal Yamaha Lagenda milik mereka.

“Menjelang hari raya yang tinggal tiga hari lagi kami sekeluarga diduga sebegini.

“Barang kemas serta wang tunai RM4,000 untuk perbelanjaan membeli persiapan hari raya juga turut tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Mereka sekeluarga kini menumpang di rumah kakak di Pantai Cahaya Bulan, di sini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan II Samsuddin Mat berkata pihaknya menerima makluman pada jam 7.26 malam.

“Seramai 17 anggota bergegas ke lokasi kejadian dan apabila tiba kami mendapati sebuah rumah separuh kekal sudah 90 peratus hangus terbakar.

“Dua buah kereta serta sebuah motosikal turut musnah dan api berjaya dikawal pada pukul 7.35 malam dan kerja pemadaman selesai pada jam 8.10 malam,” katanya.