Tangkapan ke atas mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat kepada 828 individu, ujar Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, trend peningkatan berkenaan menunjukkan tindakan serius Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap perintah berkenaan.

"Semalam PDRM menahan 828 individu di sekatan jalan raya dan rondaan kerana melanggar PKP, tangkapan semakin meningkat. Ia menunjukkn polis ambik tindakan lebih tegas daripada sebelumnya," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, kerajaan tetap mensasarkan untuk mengurangkan tangkapan melalui pematuhan orang ramai pada Fasa Kedua PKP.

"Sebenarnya sasaran kita bukan untuk menambah tangkapan tetapi untuk mengurangkan tangkapan. Semakin banyak tangkapan setiap hari, maknanya semakin ramai tidak patuh kepada PKP.

"Sebab itulah sasaran kita untuk mengurangkan tangkapan bagi menunjukkan pematuhan rakyat mencapai sasarannya," tambahnya.

Dalam pada itu, sekatan jalan raya di plaza-plaza tol di seluruh negara akan ditingkatkan kepada 114 berbanding 65 operasi pada Ahad.

Ismail menjelaskan, jumlah anggota keselamatan bertugas akan ditambah dari semasa ke semasa bagi memastikan operasi berjalan lancar.

"Sekatan jalan raya di plaza tol seperti yang telah diumumkan bahawa terdapat 23 sekatan jalan raya di tol tetapi mulai semalam telah ditingkatkan kepada 65 sekatan di plaza tol dan ia akan ditingkatkan 114 plaza tol seluruh negara.

"Sehingga semalam jumlah keseluruhan anggota bertugas PDRM,ATM Rela, APM, adalah 67,774 anggota dan kita ada simpanan lebih ramai, jika diperlukan akan ditambah dari semasa ke semasa," ujarnya.