Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) nafi calonnya, Datuk Dr Badhrulhisham Abd Aziz ditaja oleh Parti Amanah Negara (PAN) untuk memecahkan undi Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Ketua Perhubungan Berjasa Johor, Mohd Izzul Hafizuddin Mohd Solehuddin berkata, pihaknya mendapati wujud mesej berunsurkan fitnah, yang ditularkan melalui akaun Facebook seorang individu baru-baru ini, dan akhirnya tersebar melalui Whatsapp dan Telegram.

“Berjasa menegaskan sekali lagi, bahawa Berjasa tidak mempunyai hubungkait dengan parti PAN apatah lagi menerima dana daripada parti tersebut.

“Berjasa amat kesal dengan politik keji yang dimainkan oleh pihak tertentu dalam kempen PRK Tg Piai dan ingin menggesa agar semua pihak dapat bertanding secara sihat dengan menolak politik fitnah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Mohd Izzul turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian bagi memastikan pengundi PRK Tanjung Piai tidak terpedaya dengan maklumat itu.