Tutup

Tanjung Piai Memilih: Memahami personaliti Wee Jeck Seng dan Karmaine Sardini

Tanjung Piai Memilih: Memahami personaliti Wee Jeck Seng dan Karmaine Sardini
Siapakah antara calon dalam PRK Tanjung Piai yang akan menjadi pengganti Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik untuk mewakili rakyat di kerusi Parlimen berkenaan?
TANJUNG PIAI: Dalam soal memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, lazimnya seseorang wakil rakyat itu akan terus dipilih atau, dikenang, jika beliau mengamalkan ‘sentuhan peribadi’ yang cukup berkesan.

Mari kita berbicara sejenak mengenai Allahyarham Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, yang mana keperibadian beliau cukup dikenang oleh penduduk setempat, walaupun hanya memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai dalam tempoh setahun setengah sahaja.
Pergilah ke mana sahaja di ceruk Tanjung Piai ini, tiada seorang pun penduduk yang menafikan pembangunan dan kemajuan yang beliau bawa ke kawasan mempunyai pengundi seramai 52,986 orang itu.

Pada 2018, Allahyarham mendapat peruntukan sebanyak RM1,303,245.00 untuk disalurkan kepada kawasan itu.
Tahun seterusnya, peningkatan yang mendadak iaitu sebanyak RM18,447,950, menjadikan jumlah keseluruhan yang beliau berjaya salurkan sebelum menghembuskan nafas terakhir, ialah sebanyak RM19,751,195.00.

Dari pembangunan dewan serbaguna beberapa kampung, ke penambahbaikan dan pembinaan jeti nelayan, menaik taraf balairaya, menambah kelengkapan perpustakaan sekolah hinggalah ke aktiviti kemasyarakatan seperti perlawanan bola sepak, penganjuran tilawah al-Quran peringkat zon, malah pertandingan E-Sports juga tidak dilupakan.

Di sebalik tanggungjawab beliau sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, nyata ‘sentuhan peribadi’ beliau terhadap kawasan itu cukup berkesan.

DR FARID SUDAH TIADA

Kini Allahyarham sudah tiada, meninggal dunia dalam usia yang kita kira agak muda, iaitu 42 tahun akibat komplikasi jantung.

Hujah bahawa legasi itu perlu diteruskan ada asasnya. Asas yang dikira cukup kukuh sekali.

Tetapi persoalannya, dapatkah masyarakat Tanjung Piai di N55 Pekan Nanas dan N56 Kukup, memilih calon yang terbaik?

Apakah faktor yang membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat?

Calon itu mempunyai sokongan Kerajaan Negeri dan Pusat?

Calon itu mempunyai latar belakang pendidikan tinggi  dan pengalaman luas, waima dari parti mana sekali pun?

Atau majoriti pengundi ingin memberikan satu mesej jelas kepada kerajaan dengan keputusan menongkah arus?

SIAPA PILIHAN PENGUNDI TANJUNG PIAI?

Bagi Karmaine Sardini, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, kedudukan politik beliau memberi kelebihan dan kekurangan yang tersendiri  dalam usaha mempertahankan kerusi milik Pakatan Harapan (PH) itu.

BACA: Tanjung Piai Memilih: Karmaine Sardini calon Pakatan Harapan

Ringkasnya, individu berusia 62 tahun itu memiliki kelebihan dari segi sokongan kewangan bersumberkan Kerajaan Negeri Johor serta Kerajaan Persekutuan yang kedua-duanya merupakan pimpinan PH.

Pada masa yang sama, itu juga satu kekurangan, kerana beliau akan dijadikan ‘mangsa keadaan’ atau ‘punching bag’ jika majoriti pengundi sependapat mengatakan kerajaan sedia ada perlu dihukum kerana kegagalan menaiktarafkan ekonomi, serta menunaikan janji manifesto pilihan raya umum.

Dari segi peribadinya pula bagaimana?

Umum mengetahui beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Pusat, serta Bendahari UMNO Pusat, sebelum bertindak meninggalkan parti itu dan seterusnya menjadi Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai.

Memasuki hari ke-12 tempoh berkempen, tiada langsung kedengaran serangan peribadi atau apa apa jua yang boleh dikorek mengenai penglibatan beliau dalam UMNO, baik dari segi keperibadian, mahupun salah guna kuasa, atau apa-apa yang negatif.

Kesimpulannya, beliau ‘clean’ orangnya. Tiada sebarang ‘political baggage’. Dari segi keramahan dengan penduduk, itu tidak dapat dinafikan.

Barangkali berpengalaman bertanding sebagai calon di Parlimen Pontian pada pilihan raya umum lepas, membuatkan beliau lebih memahami bagaimana caranya untuk meraih undi.

Dari segi pendidikan dan pengalaman kerjaya, beliau tidak kurang hebatnya.

Malah, sering dipanggil sebagai Haji, ada tauliah sebagai imam itu menambahkan lagi ‘wow factor’ beliau dalam kalangan pengundi Melayu Muslim yang merupakan majoriti di Parlimen ini iaitu sekitar 57.6 peratus.

Namun, kealpaan beliau dalam menjelaskan isu kelapa sawit sewaktu berceramah, sedikit sebanyak memakan diri kerana kenyataan itu terus menjadi ‘bola tanggung’ kepada lawannya, terutamanya dari Barisan Nasional (BN).

Selain harus menanggung kemarahan rakyat ekoran isu manifesto serta prestasi ekonomi semasa, beliau juga perlu berhadapan dengan pengundi Melayu Islam yang sedikit sebanyak mengamalkan sentimen anti-DAP.

Tambahan pula, setiap ‘lawatan kebetulan’ atau ‘peruntukan mengejut’  yang diumumkan barisan Menteri Kabinet, termasuk Kerajaan Johor, seolah-olah meletakkan beliau di kedudukan yang janggal.



MAMPUKAH WEE JECK SENG RAMPAS KEMBALI TANJUNG PIAI?

Beralih pula kepada calon BN iaitu Datuk Dr Wee Jeck Seng, yang merupakan Timbalan Setiausaha Agung parti itu.

Beliau juga turut dikenali masyarakat setempat kerana pernah berkhidmat selama tiga penggal di kawasan ini - sepenggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas dan dua penggal sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai.

BACA: PRK Tanjung Piai: Wee Jeck Seng sah calon BN

Desas-desus beliau bukan pilihan utama jelas berkumandang akar umbi UMNO Tanjung Piai pada awalnya mahukan Ketua Bahagian mereka Datuk Jefridin Atan sebagai calon, atas alasan Tanjung Piai merupakan kawasan majoriti Melayu.

Malah, sumber dalaman memaklumkan Astro AWANI, bagaimana mereka terpaksa bermesyuarat semula bagi menukar naratif yang bersesuaian seusai ahli politik berusia 55 tahun itu sah dipilih kepimpinan tinggi BN.

Tetapi meniti dari sehari ke sehari tempoh berkempen, Wee, nyata selesa bertemu setiap pengundi.

Walaupun kebolehannya menggunakan bahasa kebangsaan tidaklah setinggi Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ataupun Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, namun selagi mana mesej beliau sampai dengan jelas, bagi BN itu sudah lebih daripada memadai.

Berbekalkan pengalaman menjadi wakil rakyat di sini, beliau langsung tidak kekok bertemu setiap lapisan masyarakat.

Malahan, faktor sentimen masyarakat Tiong Hua sekitar 46 peratus ,yang lebih mementingkan kepentingan ekonomi, ternyata membantu beliau dalam usaha merampas kembali kerusi Parlimen itu.

Seperti kata bekas Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin: “Saya sangkakan ini ceramah DAP” - ketika merujuk kepada kehadiran masyarakat Cina yang begitu ramai di setiap ceramah anjuran MCA.

PUSINGAN TERAKHIR

Namun keadaan masih lagi orang kata 50-50. Media akan terus memerhatikan tempoh berkempen yang masih berbaki tiga hari lagi.

PH akan menganjurkan Ceramah Mega pada 13 November ini (Rabu), yang mana fokus utama sudah pasti terarah kepada Pengerusi mereka yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

BN pula akan menganjurkan Himpunan Perpaduan Ummah (kali ini ditambah Muafakat Nasional) pada malam seterusnya, iaitu 14 November.

Memang penganalisis sering berkata, jumlah kehadiran tidak boleh diterjemahkan sebagai undi, namun ia sedikit sebanyak menjadi barometer tahap sokongan kepada mereka berdua.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu yang mewakili PH pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRU14 Mei tahun lepas, Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.


P/S: Maafkan penulis kerana tidak melihat lebih mendalam mengenai empat calon lain iaitu Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia), Dr Ang Chuan Lock (Bebas) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (Bebas).


Tag: Tanjung Piai Memilih, Piihan Raya Kecil Tanjung Piai, PRK Tanjung Piai, Dr Md Farid Md Rafik, Karmaine Sardini, Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, Dr Ang Chuan Lock, Faridah Aryani Abdul Ghaffar



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.