Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Tanpa syak, pesara buat 30 pindahan wang ke dalam 14 akaun, rugi setengah juta ringgit

Tanpa syak, pesara buat 30 pindahan wang ke dalam 14 akaun, rugi setengah juta ringgit
Wanita warga emas itu mengikut sahaja segala arahan yang diberikan melalui telefon oleh suspek dengan menyerah maklumat kad ATM bagi tiga akaun bank miliknya.
ROMPIN: Bimbang dikenakan tindakan undang-undang, seorang pesara wanita di sini terpaksa menanggung kerugian hampir setengah juta ringgit selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Kejadian bermula pada 29 April lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa sebagai kakitangan Telekom.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof, individu berkenaan memberitahu bahawa nama mangsa digunakan untuk mendaftarkan nombor telefon yang baru bagi aktiviti perjudian haram.

"Namun mangsa menafikan dakwaan berkenaan dan individu itu menyambungkan panggilan kepada kononnya pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi membuat laporan polis untuk penafian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian bercakap dengan seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Tuan Khairul' sebelum diminta untuk menyerahkan maklumat peribadi seperti akaun bank, barang kemas, jumlah kenderaan dan rumah.

"Selepas itu, mangsa diarahkan untuk memberikan 16 digit nombor kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), tiga digit nombor di bahagian belakang dan tarikh tamat kad berkenaan," katanya.

Menurutnya lagi, wanita warga emas itu mengikut segala arahan yang diberikan oleh suspek dengan menyerah maklumat kad ATM bagi tiga akaun bank miliknya.

"Selepas mengikut arahan berkenaan, 'Tuan Khairul' memaklumkan akan menyambungkan panggilan itu ke 'Puan Normila' yang merupakan Pegawai AMLA Bukit Aman.

"Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat beberapa pindahan wang miliknya ke akaun yang diberikan oleh suspek kononnya bagi melindungi wang itu," katanya.

Katanya lagi, tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membuat 30 kali pindahan wang ke dalam 14 akaun bank yang berlainan bermula 29 April sehingga 15 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM424,650.

"Selepas itu baru mangsa menyedari dirinya sudah ditipu oleh sindiket berkenaan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di sini, semalam," katanya.