Lagu kanak-kanak 'Tanya Sama Pokok' menjadi kurniaan paling istimewa daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kepada kanak-kanak sindrom down Syafirah Hanum Chik di Taman Sri Keramat di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyanyikan lagu itu selepas ibu Syafirah Hanum, Salmah Ali menyembah maklum anaknya amat meminati lagu tersebut.

Salmah, 59 tahun, yang merupakan bekas pembantu tadika mengakui beliau kelu sebaik sahaja Tunku Azizah secara spontan melagukan rangkap pertama lagu itu sebelum mengajak Sultan Abdullah untuk turut sama menyanyikan lagu popular kanak-kanak tersebut.

"Baginda berdua tersenyum apabila melihat Syafirah Hanum memberi reaksi apabila mendengar lagu itu ... saya sendiri berasa sayu dengan apa yang berlaku di depan mata. Ini rezeki anak yang menjemput kedatangan individu paling penting negara.

"Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkali-kali berpesan supaya saya bersabar menjaga anak. Seri Paduka beritahu Syafirah Hanum ialah anak syurga dan akan menarik ibu bapanya ke syurga kelak," katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Syafirah Hanum, 23 tahun, merupakan seorang daripada tiga pesakit kronik di Taman Sri Keramat yang bertuah menerima kunjungan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang berkenan mencemar duli ke daerah Maran di sini, hari ini.

Salmah berkata Tunku Azizah juga menyatakan hasrat berkenan mengurniakan buku mewarna kepada anak bongsu daripada lima beradik itu, selepas dimaklumkan Syafirah Hanum gemar melakukan akiviti itu, bagi menghabiskan masa setiap hari.

Katanya, Syafirah Hanum yang kini hanya terlantar di katil akibat sakit sejak 29 Mei 2013 akan meniarap untuk mewarna menyebabkan mereka sekeluarga sering membelikan buku aktiviti itu bagi menggembirakan hati anaknya.

Sementara itu, pesara Mohd Yusof Mohd Idris, 78, mengakui agak sukar untuk percaya apabila ahli jawatankuasa taman perumahan itu memaklumkan Seri Paduka berkenan mencemar duli ke rumahnya untuk menziarah isteri Som@Salmah Omar, 71, yang lumpuh akibat angin ahmar.

Katanya, perkara itu dimaklumkan semalam, dan sejak itu beliau sibuk membuat persiapan bagi memastikan rumahnya 'sesuai untuk menerima kedatangan pembesar', kerana ia merupakan kali pertama mereka menerima kunjungan pemimpin.

"Saya sendiri pun tidak begitu sihat...tapi hilang segala sakit dan penat bila mendengar yang hendak berkunjung ini Agong dan Permaisuri. Tak pernah mimpi pun dapat terima kunjungan baginda berdua.

"Saya terharu apabila Tunku Azizah yang memegang tangan isteri, merasa katil khas yang digunakan isteri seperti tidak berfungsi sepenuhnya, menyebabkan Sultan Abdullah menitahkan supaya pihak kesihatan yang ada di situ untuk terus membuat pemeriksaan," katanya.