Tutup

Tapak perkuburan Cina: Kerajaan belum buat keputusan - MB

Tapak perkuburan Cina: Kerajaan belum buat keputusan - MB
Hanya pertimbangan, belum ada keputusan, kata Aminuddin. - Gambar fail
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan belum buat keputusan berhubung permohonan sebuah syarikat bagi membangunkan tanah seluas 141 hektar dalam kawasan Pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) untuk tapak perkuburan Cina, persidangan Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu masih di peringkat kajian dan perbincangan.
"Kita bersetuju untuk buat kajian kerana itu merupakan tanah kuari dan tiada siapa yang mahu buat pembinaan di kawasan tanah bukit yang tinggi.

"Jika memang tiada kemajuan lain, kita akan pertimbangkan cadangan untuk tanah itu dijadikan sebagai tanah perkuburan Cina. Hanya pertimbangan, belum ada keputusan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) pada sesi jawab lisan.
Mohamad juga berkata kerajaan negeri perlu memikirkan semula mengenai perkara itu kerana ia sepatutnya melaksanakan pelaburan berteknologi tinggi yang boleh menjamin pendapatan tinggi kepada negeri dan lebih peluang pekerjaan sepertimana di kawasan Sendayan.

Di bawah projek MVV 2.0, sejumlah 153,411 hektar tanah di Nilai, Seremban dan Port Dickson akan dibangunkan dan dijangka menarik RM294 bilion pelaburan dalam tempoh 30 tahun.

-- BERNAMA