PENTADBIRAN Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (Federal Aviation Authority – US FAA) turunkan penilaiannya terhadap keselamatan penerbangan Malaysia dari Kategori 1 ke Kategori 2.

Keputusan turun-taraf itu dilapor oleh Reuters tanpa mendedahkan sumber maklumat dan kini tersebar meluas setelah diulang lapor oleh media antarabangsa.

Apabila bertemu wartawan di Putrajaya malam Isnin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan beliau belum diberitahu tentang tindakan FAA itu.

Penurunan taraf dari Kategori 1 ke Kategori 2 mempunyai implikasi kepada usaha mana-mana syarikat penerbangan yang berpengkalan di Malaysia yang mempunyai hasrat membuka laluan baharu ke destinasi di bawah pentadbiran FAA.

Ini juga mempunyai implikasi kepada mana mana syarikat penerbangan yang berkongsi kod dengan syarikat penerbangan negara.

Setakat ini, tiada pihak terlibat di Malaysia dilapor membuat sebarang kenyataan. Astro AWANI difahamkan bahawa Kementerian Pengangkutan sedang menunggu sebarang kenyataan susulan FAA sebelum membuat kenyataan balas.



Menurut pemerhati industri penerbangan, tindakan FAA ini tidak bermaksud pentadbiran dan operasi pesawat berpengkalan di Malaysia adalah tidak selamat. Penurunan taraf ini hanya berdasarkan pendapat pihak FAA tentang tahap kawal-selia industri penerbangan di satu satu negara.

Pihak FAA sendiri tidak kebal dari kritikan ekoran kemalangan melibat pesawat 737 Max yang mengorbankan nyawa Penerbangan Lion Air dan Ethiopian Airways.

Bagi tujuan pernilaian tindakan FAA, Indonesia dan Vietnam dilaporkan berada di Kategori 1.

Sementara itu, Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malasia (Civil Aviation Authority Malaysia – CAAM) Kapt Ahmad Ridzwan Mohd Salleh melalui satu kenyataan malam Isnin menyifatkan tindakan FAA ini bukan cerminan prestasi mana mana syarikat Penerbangan, Lapangan Terbang mahupun Perkhidmatan Trafik Udara di bawal kawal seliaannya.

Tambah Kapt Ahmad Ridzwan, CAAM sudah membuat permintaan pihak FAA membuat pernilaian semula dalam masa 12 bulan bagi tujuan menaik taraf kembali ke Kategori 1. Mengikut CAAM, usaha sedang berjalan untuk tindakan yang bersesuaian untuk tujuan ini.