Tutup

Tarikan Desa KEDA Telok Berembang jadi produk pelancongan

Tarikan Desa KEDA Telok Berembang jadi produk pelancongan
Tarikan luar bandar di Desa KEDA Telok Berembang boleh menjadi aset pelancongan. - Astro AWANI
LANGKAWI: Desa KEDA Telok Berembang di Pulau Tuba, Langkawi akan dijadikan destinasi pelancongan untuk kawasan luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun berkata, Desa KEDA Telok Berembang merupakan pencetus untuk menjadikan pulau itu sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan kampung di pulau bebas cukai itu.
Katanya, sebelum ini Pulau Tuba tidak popular dalam kalangan pelancong, bagaimanapun pulau yang terletak di tenggara Langkawi itu mempunyai banyak keistemewaan yang mampu menggamit pelancong yang ingin merasai kehidupan serba ringkas serta kedamaian alam.

Katanya, penduduk desa di situ yang rata-ratanya nelayan banyak menghasilkan produk makanan dan kraftangan yang mampu menarik pelancong asing dan tempatan.


Antara produk makanan adalah keropok lekor ala Pulau Tuba, ikan kering, selain produk kraftangan daripada siput dan cangkerang laut serta lampu hiasan daripada kulit ikan buntal.

Justeru itu, kata Rina, kementeriannya melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan dana RM2 juta bagi menaik taraf infrastruktur desa itu dan Pulau Tuba amnya.

Katanya, antara projek yang sedang dilaksanakan menghiasi rumah di Desa Telok Berambang dengan warna-warni sebagai tarikan pelancongan.

Di samping itu, katanya, kerja landskap di kawasan Pulau Tuba digiat dilaksanakan di beberapa tempat, membina empat unit bangunan kedai berkembar serta menaik taraf kolam ikan air tawar untuk tarikan pelancong.

“Pelancongan kita nak buat jadi rural tourism (pelancongan luar bandar). Kita ada kolam untuk penternakan ikan yang baru saja saya lepaskan anak ikan. Nanti itu akan menjadi satu tarikan pelancong bila ikan itu sudah membesar. Kita akan keringkan dan ada cara supaya (pengunjung) dari luar boleh datang menangkap ikan menggunakan kain batik, kain pelikat cara yang sebegitu,” ujar Rina.

Terdahulu beliau melakukan lawatan kerja sehari di Pulau Tuba, Langkawi bagi menjadikan pulau itu destinasi pelancongan berkonsepkan desa, pada Ahad.




Tag: pelancongan luar bandar, desa keda, telok berembang, pulau tuba, langkawi, destinasi pelancongan, rina harun



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.