Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Taska, pusat jagaan kanak-kanak ikut SOP, ibu bapa tidak perlu bimbang

Taska, pusat jagaan kanak-kanak ikut SOP, ibu bapa tidak perlu bimbang
Roszlinda Sham (kiri) dan Efizah Mohtar Rasali memberitahu, pusat jagaan mereka beroperasi sebagai memenuhi tuntutan kerja ibu bapa barisan hadapan dan sektor kritikal.
KUALA LUMPUR: Kebenaran pembukaan semula Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan pusat jagaan kanak-kanak tentunya memberi nafas lega kepada ibu bapa yang bekerja.

Pun begitu, pembukaan pusat jagaan itu mendapat reaksi kurang 'menyenangkan' daripada kebanyakan rakyat Malaysia yang bimbang memandangkan negara masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik COVID-19.

Pelbagai soalan bermain di fikiran orang ramai seperti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan sosial dan sebagainya.

Ini kerana sedangkan orang dewasa sekali pun sukar untuk mematuhi SOP, inikan pula kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.
Berkongsi persediaan operasi dan keselamatan kanak-kanak, Astro AWANI menemuramah beberapa pengusaha taska, pada Selasa.

BACA: SOP taska: Tiada diskriminasi anak-anak petugas barisan hadapan - KP Kesihatan 
BACA: SOP taska ikut saranan KKM - Rina Harun

Pengasas Hawary Education, Roszlinda Sham memberitahu, pusat jagaan itu mula beroperasi pada 11 Mei lalu selepas melihat kepada segelintir ibu bapa yang memerlukan khidmat penjagaan anak-anak kerana tuntutan kerja.

Pun begitu katanya, sebelum memulakan pengoperasian, premis itu dibersihkan sepenuhnya termasuk peralatan bantuan mengajar dan perkakas makanan disanitasi.
 
Selain itu katanya, setiap guru juga diwajibkan menyerahkan borang kesihatan bagi mengesahkan mereka benar-benar bebas daripada sebarang jangkitan.

"Sebagai rutin harian pula, kami akan melakukan pemeriksaan suhu setiap guru dan kanak-kanak, guru diwajibkan memakai topeng muka dan hidung, menggunakan cecair pembasmi kuman serta mensanitasikan premis selepas tamat pengoperasian," katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi, taska itu juga telah mengubah aktiviti berkumpulan yang dilakukan sebelum ini kepada aktiviti bersifat individualistik.

Pada awalnya kata beliau, penjarakan sosial sukar untuk dipatuhi memandangkan kanak-kanak lebih cenderung untuk bermain secara berkumpulan, namun selepas beberapa hari mereka sendiri seolah-olah sedar dan patuh pada arahan itu. 



Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch Sdn Bhd,  Efizah Mohtar Rasali pula berkata, bagi memastikan SOP termasuk penjarakan sosial dipatuhi, pusat jagaan itu tidak mengambil bilangan kanak-kanak dalam jumlah yang besar.

Keutamaan katanya diberikan kepada anak petugas barisan hadapan dan di sektor kritikal yang memerlukan mereka bekerja.

"Kita hanya membuka beberapa cawangan berdasarkan permintaan. Kanak-kanak kita antara empat dan belasan orang sahaja," ujarnya.

Menjelaskan mengenai aspek keselamatan, beliau berkata, semua premis Brainy Bunch bukan sahaja disanitasi sebelum dibenarkan beroperasi malah proses sanitasi itu dilakukan pada setiap hari.

Selain itu katanya, guru-guru juga perlu menyerahkan borang pengisytiharan kesihatan dan rekod perjalanan mereka sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada jangkitan COVID-19.

Sebelum ini berkuatkuasa 4 Mei ini, kerajaan membenarkan semua jenis taman asuhan kanak-kanak atau taska akan dibenarkan kembali beroperasi, namun ia masih tertakluk kepada garis panduan dan SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).





Tag: KKM, education, keselamatan, kesihatan, guru, SOP, Hawary Education, COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia, Brainy Bunch, taska, mula beroperasi, reaksi rakyat Malaysia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.