Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Tata Sons mahu tamatkan usaha sama dalam Airasia India

Tata Sons mahu tamatkan usaha sama dalam Airasia India
Tata Sons berhasrat menamatkan usaha sama syarikat penerbangan tambang rendah dengan AirAsia. - Foto BERNAMA
NEW DELHI: Tata Sons berhasrat menamatkan usaha sama syarikat penerbangan tambang rendah dengan AirAsia Bhd ketika pandemik COVID-19 terus menjejaskan perniagaan sektor terbabit, demikian menurut satu laporan media India pada Isnin.

AirAsia Bhd memegang 49 peratus kepentingan dalam AirAsia India - jumlah pegangan maksimum asing yang dibenarkan dalam syarikat penerbangan India manakala baki kepentingan itu dimiliki oleh Tata Sons, syarikat pegangan Tata Group.
"Tata (Sons) tidak berminat untuk meneruskan pelaburannya dalam AirAsia India. Pihak AirAsia di Malaysia telah menghubungi Tata Sons untuk menjual 49 peratus kepentingannya tetapi Tata enggan menerima tawaran itu.

"Sebaliknya, rancangan (Tata) yang masih di peringkat awal, adalah untuk melepaskan pegangannya dalam AirAsia India dan memberi tumpuan terhadap (syarikat penerbangan) Vistara," kata laporan portal media Livemint.com yang memetik sumber.
Vistara adalah usaha sama penerbangan Tata Group dengan Singapore Airlines.

Jurucakap AirAsia India yang dihubungi Bernama bagaimanapun enggan mengulas perkara tersebut.

Syarikat penerbangan itu mula beroperasi pada Jun 2014 dan merancang untuk melancarkan perkhidmatan antarabangsa serta penyenaraian di bursa saham sebelum berlakunya penularan COVID-19 dan menyebabkan industri penerbangan global terjejas teruk.

AirAsia India mempunyai lebih daripada 24 pesawat yang beroperasi dalam rangkaian 21 destinasi di serata India.


Tag: Malaysia, AirAsia, pandemik, 2014, Media, India, pesawat, penerbangan, koronavirus



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.